• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

SPR Dicadang Sediakan Bas Bawa Balik Pengundi

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadang menyediakan bas bagi membolehkan perantau di setiap negeri terlibat Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) pulang mengundi pada 12 Ogos ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, SPR perlu melakukan tindakan demikian bagi menyuburkan proses demokrasi setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan penyediaan perkhidmatan bas merupakan rasuah termasuk membayar tiket bas.

"Kita sebelum ini bercadang untuk menyediakan perkhidmatan tersebut, tetapi dengan syarat-syarat dikemukakan SPRM menyebabkan hasrat itu tidak dapat diteruskan.

"Cuba bayangkan pada hari itu semua hendak balik sedangkan bas ekspress tidak mencukupi kerana tidak dapat menampung keperluan para pengundi," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini semalam 

Mengulas lanjut, pihaknya berharap akan ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin tentang demokrasi untuk membantu perantau pulang mengundi sebagai jalan terakhir.

"Saya ingat kalau kerajaan tidak boleh (sediakan bas) NGO akan membantu untuk bawa pulang mengundi, perkara ini tidak menghairankan (boleh berlaku).

"Kita juga memang telah mengerakkan kempen balik mengundi dengan berkongsi kenderaan," ujarnya lagi.