Berita :
STET Rangkul Semula Gelaran Johan Kuda Terbaik CEI2 120KM*
STET Rangkul Semula Gelaran Johan Kuda Terbaik CEI2 120KM*
Muhamad Fazlee Aziz
1 jam yang lepas
33

Oleh: Nurul Natasha Surin

SETIU, 6 Julai – State Terengganu Endurance Team (STET) sekali lagi membuktikan keunggulan apabila berjaya merangkul semula gelaran Johan Kuda Terbaik bagi kategori CEI2* 120KM pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2026.

Kejohanan berprestij itu berlangsung di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, di sini, semalam, dengan penyertaan pasukan kuda lasak dari dalam dan luar negara.

Pertandingan tersebut menyaksikan para peserta diuji dari aspek ketahanan, disiplin, strategi serta kecergasan kuda dan penunggang sepanjang laluan perlumbaan yang mencabar.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejayaan itu membuktikan STET terus konsisten sebagai antara pasukan terbaik dalam sukan kuda lasak negara.

Menurutnya, pencapaian tersebut lebih membanggakan apabila STET bukan sahaja muncul juara dan naib juara bagi kategori CEI2* 120KM, malah turut meraih tempat keempat dalam kategori CEIYJ1* 100KM.

“STET turut membawa pulang Anugerah Kuda Terbaik Keseluruhan, sekali gus membuktikan keupayaan pasukan ini untuk bersaing pada tahap yang tinggi.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Kejayaan ini adalah hasil disiplin tinggi, latihan berterusan serta semangat juang yang tidak pernah luntur,” katanya.

Hishamuddin berkata, kejayaan STET merangkul semula gelaran Johan Kuda Terbaik CEI2* 120KM itu amat bermakna selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2024.

Katanya, pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan STET sebagai antara pencabar utama dalam arena sukan kuda lasak di negara ini.

Beliau berkata, kejayaan itu juga diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan ekuestrian di Terengganu, khususnya dalam melahirkan lebih ramai atlet berkuda yang berdaya saing dan mampu mengharumkan nama negeri pada masa depan.

“Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan ini kerana Terengganu mempunyai kemudahan, pengalaman dan potensi besar untuk terus menjadi antara pusat utama sukan kuda lasak di Malaysia,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan