• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sukan Takraw Tepoh Terima Suntikan, Ligatkan Riadah Anak Muda

KUALA NERUS, 6 Februari - Sukan Takraw di Tepoh bakal menerima suntikan semangat baru melalui insentif kewangan sebanyak RM500 kepada sembilan buah gelanggang takraw yang aktif bertujuan meligatkan lagi aktiviti sukan komuniti tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim berkata, buat anak muda di kawasan itu, takraw merupakan diantara aktiviti riadah yang paling digemari melihat kepada jumlah buah gelanggang yang banyak dan meriah.

"Saya berharap ke semua gelanggang yang terlibat dalam pertandingan ini (Kejohanan Sepak Takraw Tepoh) terus bergiat aktif dan berusaha mencungkil bakat baru.

"Untuk hari ini, disamping sumbangan sebanyak RM500, tiga biji bola sepak takraw dan satu set jersey untuk semua pasukan bertanding akan disediakan selepas acara kejohanan hari ini tamat.

"Usaha ini merupakan satu lontaran semangat buat semua penggiat sukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Tertutup DUN Tepoh di Gelanggang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), baru-baru ini.

Terdahulu, sumbangan peralatan dan prasarana aktiviti sukan seperti bola dan jaring sepak takraw menjadi aktiviti rutin Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh untuk membangunkan dan mempromosikan aktiviti sihat buat golongan belia.