• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

Sukarelawan Syariah Penggerak Realisasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera

MARANG, 23 September- Penubuhan Sukarelawan Syariah dilhat mampu menjadi penggerak dakwah berkesan bagi membantu kerajaan negeri merealisasikan matlamat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, dalam indeks Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera yang dibentangkan dalam mesyuarat ahli majlis kerajaan negeri yang berlangsung hari ini, satu sub indikator utama iaitu pelaksanaan syariah Islam dalam erti kata lain sebagai kayu ukur pematuhan syariat dalam negeri.

"Indeks ini akan menjadi asas dalam memnggerakkan pembangunan insan, keluarga, belia termasuk pembangunan fizikal di negeri Terengganu, agar tidak lari daripada wawasan dunia iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dan wawasan Akhirat.

"Kerajaan memiliki sumber manusia yang terhad, maka sokongan daripada masyarakat khususnya hari ini kita wujudkan Sukarewalan Syariah  di setiap daerah untuk membantu agar pemantauan dan pematuhan syariat serta mendidik masyarakat," katanya. 

Beliau berkata demikian  kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu Peringkat Daerah Marang anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Dewan Pejabat Agama Daerah Marang, hari ini.

Jelasnya, penubuhan sukarelawan berkenaan juga bertepatan seruan kerajaan negeri kepada rakyat Terengganu untuk bersama membangun negeri pantai timur itu.

"Berdasarkan indeks tersebut, kita turut meletakkan tema bahawa bukan sahaja kerajaan tetapi rakyat juga memiliki tanggungjawab untuk melaksanakan amar maaruf nahi mungkar. Insya-Allah, penguatkuasaan syariah akan memberi kesedaran kepada rakyat kita untuk tidak melaksanakan kejahatan.

"Apabila kejahatan boleh dihalang, kemungkaran boleh dibendung, kemaksiatan boleh disekat, maka suatu masyarakat itu akan hidup dengan baik yang  membawa kepada sejahtera bukan sahaja fizikal tetapi rohani dan jiwa juga untuk terus melakukan kebaikan," katanya.

Seminar berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 150 sukarelawan syariah dari seluruh daerah Marang.

 

 

 


Tag: