• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sultanah Terengganu Kurnia Cendera Kenangan di Hospital Besut

BESUT, 19 Ogos- Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli ke Hospital Besut (Hospital Kluster Terengganu Utara), Jertih hari ini, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu.

Keberangkatan tiba Baginda pada jam 9.30 pagi diiringi Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut mengiringi Baginda ialah isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato'Dr Kasemani Embong serta isteri Tengku Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri Pegawai Kewangan Negeri.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dato' Dr Alias Razak serta timbalannya, Ahmad Shah Mohamed.

Dalam kunjungan tersebut, Baginda turut mencemar duli menziarahi wad Posnatal dan wad Antenatal selain berkenan mengurniakan cendera kenangan kepada para pesakit yang dirawat di wad berkenaan.

 

 

 

 


Tag: