• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Suntikan Semangat Peserta Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB MB

Ahmad Razif bergambar kenangan dengan peserta cilik Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar sempena majlis makan malam kejohanan itu, di LembahBidong, Setiu, malam tadi. Foto oleh Zulkipli CW Putra


Peserta Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar mendapat kata-kata perangsang daripada Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebelum bermulanya kejohanan, di majlis makan malam di Lembah Bidong, Setiu malam tadi.

Menteri Besar tiba kira-kira jam 9 malam bersama beberapa tetamu khas yang lain antaranya ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Negeri, Dato' Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato' Muhammad Pehimi Yusof.


Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang dan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Tetamu juga dihiburkan dengan penyanyi jemputan, Pok De dan Adi Jagat.

Seramai 120 peserta dijangka menyerta Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong yang berlangsung selama dua hari, berakhir 4 Mac.

Mereka termasuk peserta di bangku sekolah rendah, bakal menyertai kategori 80 kilometer (km), 40 km, 30 km dan 10 km.

Majlis pelepasan bagi kategori 80 km (qualifier) dan 80 km (CEN) akan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi  Wan Ismail.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pula dijangka berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang  pada 4 Mac (Sabtu) , kira-kira jam 11.45 pagi.


Tag: