lightning-solid
Berita :
Suri Rumah Rebut Peluang SKIM Tabungan Demi Masa Hadapan
Suri Rumah Rebut Peluang SKIM Tabungan Demi Masa Hadapan
Wan Mohammad Omar Ajmain
22 jam yang lepas
43

HULU TERENGGANU, 27 Julai – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong khususnya suri rumah hadir memeriahkan dan  memanfaatkan pelbagai program bantuan serta skim tabungan dan perlindungan yang disediakan kerajaan demi menjamin kesejahteraan masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata, keprihatinan masyarakat terhadap inisiatif sedemikian amat penting, terutamanya dalam membantu golongan yang memerlukan mendepani cabaran ekonomi.


Menurut beliau, penganjuran Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat Terengganu 2026 DUN Telemong menerusi kerjasama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan menjadi platform terbaik bagi menyalurkan maklumat secara terus kepada akar umbi.

"Kita mahu memastikan rakyat nampak dan merebut peluang yang ada. Ibarat buah, apabila tiba musimnya, kita perlu petik agar memberi hasil.

"Begitu juga dengan bantuan kerajaan, jika layak, ambillah peluang yang disediakan ini demi jaminan masa depan," katanya ketika merasmikan karnival berkenaan di Dewan Komuniti Kuala Berang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi memetik contoh skim caruman i-Suri yang menawarkan manfaat kewangan signifikan, termasuk caruman tambahan serta perlindungan sosial yang sukar diperoleh daripada institusi lain.

"Menerusi penyertaan dalam skim ini, pencarum layak menerima manfaat seperti insentif bantuan RM300. Pegawai daripada agensi berkaitan turut sedia membantu urusan pendaftaran, khusus bagi mereka yang merancang untuk berdikari pada hari tua kelak," jelasnya.

Program sehari itu turut menyediakan pelbagai kaunter pendaftaran bergerak yang dibantu oleh pegawai bertugas bagi memudahkan urusan masyarakat setempat menyertai pelbagai skim bantuan kerajaan secara terus.


Artikel Berkaitan