• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Surianita Dekati Golongan Memerlukan - Halina

 Halina (dua dari kanan) melihat hasil masakan peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan masakan sempena Mesyuarat Agung Surianita kali- Ke18 di Kediaman Seri Iman, hari ini. Foto oleh: Zulkifli Putra

Persatuan Wanita Sedar Negeri Terengganu (Surianita) yang ditubuhkan pada 1999 tidak pernah lari daripada misinya untuk membantu keluarga dan penduduk setempat yang memerlukan bantuan.

Yang Dipertua Surianita, To’ Puan Seri Halina Zakaria berkata, seiring dengan objektif penubuhannya, Surianita dilihat sebagai ejen kerajaan dan penyampai maklumat mengenai isu kebajikan termasuk masalah rakyat di kawasan masing-masing dan misi serta visi itu tetap selari hingga kini.

Katanya, sepertimana badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, kewujudan Surianita yang ditubuhkan khusus untuk kaum wanita di Terengganu sahaja itu, antara lainnya bertujuan membantu kebajikan ahli dalam menjana ekonomi keluarga.

“Termasuk melalui kursus-kursus jahitan, masakan, kraftangan dan sebagainya yang seterusnya membolehkan ahli-ahli memajukan diri dengan menjalankan perniagaan sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-18 Persatuan Wanita Sedar Negeri Terengganu (Surianita) di Kediaman Seri Iman, hari ini.

Turut hadir, Naib Yang Dipertua Surianita, To’ Puan Halijah Ali.

Katanya, setiap ahli Surianita dari semua daerah di negeri ini diharap mengambil cakna mengenai jiran terdekat dan penduduk kampung jika mereka memerlukan bantuan.

“Dengar dan terima pandangan mereka dan bolehlah bawa ke tengah melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung masing-masing,” ujarnya.


Dalam pada itu Halina berkata, walaupun tidak mendapat sumbangan atau geran daripada mana-mana pihak, Program Biasiswa Anak Angkat yang diperkenalkan Surianita sejak 2012 tetap diterusnya hingga kini.

“Sumbangan sebanyak RM50 sebulan selama dua tahun diberikan kepada pelajar dari golongan keluarga kurang berada yang cemerlang dalam peperiksaan PT3 dengan sekurang-kurangnya mendapat 5A.

“Seterusnya, jika cemerlang dalam SPM dengan pencapaian sekurang-kuranya 6A, pelajar ini akan diberikan insentif sebanyak RM1,000 seorang,” ujarnya.

Tag: