lightning-solid
Berita :
Syarikat Terengganu, Epic Berhad Agih Baju Raya Buat 140 Anak Asnaf
Syarikat Terengganu, Epic Berhad Agih Baju Raya Buat 140 Anak Asnaf
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
103

KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Seramai 140 anak asnaf sekitar Kuala Terengganu menerima sumbangan pakaian raya lengkap menerusi Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 anjuran EPIC Berhad yang berlangsung di Gedung Tekstil Jakel Gong Badak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti berteraskan nilai kemanusiaan, khususnya golongan memerlukan.

"Turut menzahirkan harapan agar inisiatif ini mampu menyuntik keceriaan dan keyakinan kepada anak-anak dalam menyambut Aidilfitri, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar," ujarnya dalam laman sosialnya, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Pengarah EPIC Berhad, Dato' Ahmad Amzad Hashim menyifatkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta sebagai pendekatan berkesan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

FB_IMG_1772294953479.jpg 169.48 KB

"Menyambut baik usaha EPIC Berhad dan Jakel Trading Gong Badak dalam memperkukuh peranan menyantuni golongan kurang bernasib baik. 

"Menyifatkan kerjasama antara pemimpin rakyat, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak swasta sebagai elemen penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian," katanya.

Pengurus Kanan Jakel Trading Gong Badak, Bukhari Zainuddin pula meluahkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan komitmen bersama dalam membantu menceriakan anak-anak asnaf menjelang perayaan.

Bagi tahun 2026, EPIC Berhad memperuntukkan kira-kira RM3.45 juta untuk pelbagai program CSR, dengan lebih RM160,000 disalurkan khusus bagi program Ramadan melibatkan warga kerja dan komuniti setempat.

Program tahunan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jakel Trading Sdn Bhd cawangan Gong Badak, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan menjelang Aidilfitri.

FB_IMG_1772294960328.jpg 185.67 KB
Secara keseluruhan, program tahun ini memberi manfaat kepada 210 anak asnaf berusia enam hingga 11 tahun dari daerah Kuala Terengganu dan Kemaman, melibatkan peruntukan sebanyak RM60,000.

Setiap penerima menerima sepasang pakaian raya lengkap iaitu baju Melayu berserta sampin bagi kanak-kanak lelaki dan persalinan baju kurung bagi kanak-kanak perempuan, selain duit raya serta hamper.

Inisiatif berterusan itu mencerminkan peranan aktif sektor korporat dalam menyokong agenda kebajikan rakyat serta memperkukuh semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.


Tag :

Artikel Berkaitan