lightning-solid
Berita :
Syarikat Terengganu, EPIC Berhad Salur Zakat RM34,000 Kepada 100 Asnaf
Syarikat Terengganu, EPIC Berhad Salur Zakat RM34,000 Kepada 100 Asnaf
Zahid Mustafar
20 Nov 25
372

KEMAMAN, 20 November – EPIC Berhad menyalurkan zakat berjumlah RM34,000 kepada 100 penerima asnaf melalui Program Agihan Zakat yang dilaksanakan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), sekali gus mengukuhkan peranan syarikat dalam membantu kebajikan rakyat negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, agihan tersebut melambangkan komitmen syarikat dalam memastikan manfaat operasi dikembalikan kepada golongan yang memerlukan.

"Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, kami komited menyalurkan sumbangan yang mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat.

"Komitmen kami bukan sahaja untuk menjana keuntungan, tetapi turut memastikan manfaat syarikat dapat dikongsi bersama masyarakat, khususnya golongan rentan di negeri Terengganu," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Agihan Zakat EPIC Berhad_03.JPG 905.35 KB
Beliau memaklumkan bahawa jumlah tersebut merupakan fasa pertama daripada keseluruhan RM68,529 yang dipulangkan oleh MAIDAM kepada EPIC Berhad di bawah wakalah zakat berjadual.

"Agihan ini adalah sebahagian daripada hasil pulangan wakalah majikan atau potongan zakat berjadual berjumlah RM68,529 yang diserahkan semula oleh MAIDAM kepada EPIC Berhad.

"Fasa pertama agihan yang dilaksanakan hari ini melibatkan jumlah RM34,000 dan telah disalurkan kepada 100 orang penerima," jelasnya.

Dr. Muhtar menambah bahawa bantuan itu merangkumi dua kumpulan utama, iaitu fakir miskin dan pelajar yang sedang melanjutkan pengajian.

"Agihan zakat kemudiannya disampaikan kepada para penerima yang merangkumi 80 individu daripada golongan fakir miskin dan 20 pelajar yang sedang melanjutkan pengajian.

"Pecahan ini mencerminkan fokus program untuk membantu keperluan asas komuniti rentan, di samping menyokong kesinambungan pendidikan sebagai tonggak pembangunan sosial jangka panjang," tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif berkenaan turut memperkukuh hubungan antara EPIC Berhad dan masyarakat setempat dalam rangka kerja tanggungjawab sosial korporat syarikat.

"Melalui inisiatif sebegini, EPIC Berhad bukan sahaja memenuhi komitmen CSR dan menunaikan kewajipan berzakat.

"Malah ia memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat yang menjadi sebahagian daripada ekosistem operasi syarikat," ujarnya.


Artikel Berkaitan