• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Syukur Dapat Rumah Baru - Azaman

Azaman ( kiri)bercerita tentang perasaan mereka sekeluarga apabila rumahnya dipilih  untuk baik pulih kepada Jailani 

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang suami dan bapa, Azaman Said, 51, daripada Kampung Landas, Ajil apabila hasrat untuk mendiami rumah yang lebih sempurna pada kali ini menjadi realiti.

Impian bapa kepada empat anak lelaki untuk memiliki kediaman yang lebih selesa tercapai selepas dipilih menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM10,000 melalui Program NBOS-CTU Penyelenggaraan Rumah & Bantuan Insan Terpilih Parlimen Hulu Terengganu.

Menurut Azaman, apabila dimaklumkan rumahnya merupakan antara 40 yang terpilih, dia dan isteri Noraini Ali @ Harun seorang surirumah sepenuh masa bagaikan bermimpi dan bersyukur doa mereka sekeluarga selama ini telah dimakbulkan Allah SWT.

Sebagai seorang ketua keluarga, Azaman berkata,  dia tidak mampu untuk membaik pulih rumah pusaka peninggalan orang tuanya kerana pekerjaan sebagai pemandu lori yang tidak tetap dan sentiasa bertukar majikan ditambah pula terpaksa bergantung kepada keadaan cuaca untuk bergerak.

Dengan hanya purata  RM1,300 sebulan, pendapatan yang tidak seberapa inilah dia menggunakan bagi menyara keluarga termasuk belanja persekolahan empat orang anak yang berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun.

"Saya tidak menyangka kami sekeluarga terpilih untuk projek baik pulih parlimen Hulu Terengganu pada kali ini...kami gembira dengan bantuan ini kerana saya sebagai ketua keluarga memang lah rasa sedih sebab tidak mampu membaiki rumah kayu lama yang diwarisi hampir 20 tahun lalu kerana mempunyai pendapatan yang tidak menentu,"ujarnya.



Katanya, setiap kali dia memandang keadaan rumahnya yang daif, dia akan mengenang nasib isteri dan anak-anaknya untuk berteduh jika rumah tersebut makin teruk kerosakannya.

"Rumah pusaka arwah mak dan ayah yang berusia hampir 50 tahun memang uzur dengan dinding yang reput akibat dimakan anai-anai dan pintu pula banyak dah rosak...seingat saya tak pernah tukar sejak ia dibina dahulu.

"Namun kini kami sekeluarga boleh tinggal dengan selesa dengan rumah baharu ini dalam masa tiga hari dibaikpulih secara gotong-royong  sahaja dan kami bakal meraikan dua perayaan dalam suasana yang lebih ceria..berpuasa di bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti.

"Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya berikan terutama kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K ) Mohamad Abdullah yang terlalu banyak membantu termasuk memberi peluang baik pulih rumah untuk kami sekeluarga.

Katanya, kecaknaan pemimpin setempat sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana sentiasa mengambil berat penduduk setempat.

"Keprihatinan wakil rakyat Ajil, Cikgu Ghazali Taib cukup saya sanjungi dan akan saya kenang sampai akhir hayat..buat Ahli Parlimen, Dato' Seri Jailani Johari yang menyalurkan peruntukannya melalui program ini.

"Ini membuktikan rakyat sentiasa didahulukan dan bagi saya sememangnya Kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan  kepimpinan terbaik dalam membela rakyat dalam semua aspek," katanya.

Tag: