• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445
Farhod yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan menentang PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.


Impian T-Team untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri menentang PKNS musnah apabila terikat 2-2 dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ketua jurulatih pasukan tersebut, Rachmat Darmawan berkata walaupun keputusan tersebut mengecewakan namun terdapat peningkatan dari corak permainan yang ditonjolkan oleh pemain.

“Keputusan hari ini (semalam) agak mengecewakan  kerana tidak sepatutnya kita terikat seri  walaupun telah berada di hadapan 2-0.

“Secara keseluruhan saya tengok ada peningkatan dari cara kita bermain walaupun belum lagi berada di tahap yang sepatutnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, The Titans terlebih dahulu membuka jaringan hasil daripada jaringan Farhod Tadjiev seawal minit ke-9.

Pada minit ke-34 dan ke-39, skuad kendalian E Elavarasan hampir mencipta peluang untuk menyamakan jaringan melalui Bobby Gonzales namun penjaga gawang tuan rumah, Muhammad Izzuddin  Hussin ternyata sukar diatasi.

Seminit sebelum berakhirnya babak pertama, tuan rumah berjaya menjarakkan kedudukan hasil daripada kesilapan penjaga gol Semut Merah tersebut, Muhammad Zamir Selamat yang gagal menyelamatkan hantaran Mohd Nor Hakim Hassan kemudiannya dimanfaatkan oleh Farhod Tadjiev.

Bersambung babak kedua, pasukan PKNS mula merapatkan kedudukan pada minit ke-68 melalui Patrick Ronaldinho Wleh yang bijak menyempurnakan hantaran silang dari Safee Sali.

Keghairahan pasukan lawan untuk mengikat T-Team berhasil apabila lontaran oleh Matias Nicolas Hadwa ke dalam kotak penalti pada minit ke-90 terpampan ke kaki Mamadou Samassa menjadikan kedudukan 2-2.

Tag: