• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Tabung Khairat Didik Masyarakat

Ustaz Mohd Nor Hamzah merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Pertubuhan Khairat Kematian Taman Permin Jaya.
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Rakyat Negeri Terengganu diingatkan agar tidak mementingkan diri dalam hidup bermasyarakat dengan menyertai tabung khairat kerana kematian tidak mengira usia dan pengurusan jenazah adalah satu fardu kifayah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau dimaklumkan bahawa khairat kematian Pertubuhan Khairat Kematian Taman Permin Jaya dikumpulkan daripada pencarum yang tinggal di Taman Permin Jaya.

"Ianya bergantung pada kadar yang ditentukan dan diberikan kepada waris seseorang yang meninggal dunia apabila berlaku kematian.


“Walaupun kita telah menyumbang lebih dari apa kita akan dapat dalam pertubuhan ini, kita akan mendapat pahala kerana telah membantu orang ramai yang memerlukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Pertubuhan Khairat Kematian Taman Permin Jaya Kali Kesembilan di Dewan Terbuka Taman Permin Jaya, Chendering, Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurut Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Allah akan mempermudahkan urusan hamba-Nya di dunia dan akhirat jika membantu memudahkan urusan orang lain.

Beliau juga sempat menasihatkan kepimpinan pertubuhan ini agar mengembangkan lagi usaha ini dalam menjaga kebajikan penduduk taman ini terutamanya dalam soal pengurusan jenazah.

“Pada zaman sekarang, bukan mudah untuk mencari pengurus jenazah serta memerlukan kos yang tinggi.

Dengan adanya khairat kematian ini serba sedikit dapat membantu penduduk yang memerlukan,” tambahnya.

Seramai lebih 60 orang ahli Pertubuhan Khairat Kematian Taman Permin Jaya hadir ke mesyuarat tersebut.


Pertubuhan ini telah ditubuhkan 20 tahun lepas iaitu pada 10 Februari 1998.

Tujuan pertubuhannya adalah untuk kebajikan khairat kematian penduduk Taman Permin Jaya.

Sehingga kini, terdapat seramai 226 orang ahli yang aktif.

Hadir sama, Pengerusinya, Tengku Mamat Tengku Bakar, Naib Pengerusi, Mohd Hamdan Idris serta ahli-ahli jawatankuasa.


Tag: