KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Kerajaan Negeri memperkukuhkan kerjasama rentas portfolio bagi memastikan usahawan tempatan bersedia merebut peluang ekonomi yang dijangka meningkat sempena Tahun Melawat Terengganu 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, persediaan itu telah dimulakan lebih awal menerusi kerjasama erat bersama portfolio pelancongan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing menjelang kempen pelancongan terbesar negeri itu.
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan perniagaan, malah memastikan usahawan bersedia memberikan pengalaman terbaik kepada setiap pengunjung.
"Alhamdulillah, kita sentiasa mengadakan kerjasama dengan Exco Pelancongan, Datuk Razali Idris kerana kita menyedari peluang yang perlu direbut sempena Tahun Melawat Terengganu pada tahun depan.
"Sebenarnya, persediaan itu telah pun kita mulakan sejak tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Laporan Kajian Aspirasi Kerjaya Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada aspek kebersihan, penyelenggaraan prasarana serta mutu perkhidmatan di lokasi tumpuan pelancong bagi memastikan pengalaman yang baik kepada setiap pengunjung.
Menurut beliau, kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) terus diperkukuhkan bagi memastikan kemudahan di kawasan seperti Pasar Payang, Pantai Batu Buruk dan Drawbridge sentiasa berada dalam keadaan baik.
"Perkara paling penting ialah khidmat yang baik, hospitaliti dan juga kebersihan. Insya-Allah, kita akan terus mengatasi segala isu yang berkaitan," katanya.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, peningkatan kehadiran pelancong tahun ini menunjukkan Terengganu berada pada landasan tepat menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
"Berdasarkan data, jumlah kehadiran pelancong meningkat daripada kira-kira 14 juta kepada 15 juta orang, manakala pelancong yang bermalam pula melebihi 5.4 juta orang.
"Saya yakin jumlah itu akan terus meningkat apabila Tahun Melawat Terengganu 2027 dilaksanakan," katanya.