Oleh : Amir Ab Rahim
BESUT, 12 Julai – Lebih 7,000 hingga 8,000 biji durian premium termasuk Black Thorn, Musang King dan Duri Kunyit dinikmati orang ramai secara percuma dalam Pesta Jamu Durian yang diadakan di Kampung Pengkalan Setol menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, program yang julung kali diadakan di DUN Kuala Besut itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil jabatan kerajaan,Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) .
"Pada tahun ini saya tidak berniaga walaupun hasil mencecah sekitar 7,000 hingga 8,000 biji. Saya memilih untuk menjamu rakyat kerana inilah peluang mendekati masyarakat dan berkongsi rezeki bersama mereka," jelasnya.

Menurutnya, sebagai pemimpin, aspek kebajikan dan keprihatinan terhadap masyarakat perlu sentiasa menjadi keutamaan, manakala program seumpama itu mampu mewujudkan suasana lebih mesra antara pemimpin dan penduduk.
Azbi turut menyatakan hasrat menjadikan Pesta Jamu Durian sebagai acara tahunan di DUN Kuala Besut memandangkan sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.
"Saya melihat sambutan hari ini begitu meriah dan semua yang hadir menikmati durian dengan penuh kepuasan. Insya-Allah program seperti ini akan diteruskan setiap tahun di DUN Kuala Besut," katanya.
