KUALA NERUS, 15 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berhasrat memastikan Terengganu berjaya mencapai sifar korban nyawa pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Tegasnya, hasrat itu disertai dengan pelbagai pendekatan dan kempen kesedaran tentang perkara itu.
"Kita faham Terengganu berhadapan dengan MTL. Jadi ada beberapa destinasi yang agak 'keras' (bahaya), kita nasihatkan supaya kita tak benarkan. Sebagai contoh, mandi laut, kita tak benarkan.
"Untuk ke pulau, kita serah kepada Jabatan Laut, mereka yang akan membuat pengumuman sama ada dibenarkan bot ke pulau ataupun tidak.
"Tetapi untuk mandi, kita dah bagi nasihat kepada semua pengusaha-pengusaha hotel yang berkait di tepi pantai supaya beri amaran, beri nasihat dan juga pasang video pendek. Video yang beri gambaran pantai tidak selamat untuk kita mandi," katanya kepada media selepas pelancaran Kalendar Acara Tahunan Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu bagi tahun 2026 (COE 2026) di Raia Hotel, hari ini.
Jelasnya, pihak bertanggungjawab seperti Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membuat pemantauan berkala ke lokas-lokasi terlibat.
"Kalau boleh tahun 2026 ini, kita nak sifar korban nyawalah. Terutamanya (kes) pantai kerana itu yang selalu berlakulah kepada pelancong asing yang tidak tahu.
"Dia nampak macam biasa, dia pergi mandi dan akhirnya terkorban. Kalau boleh tahun ini kita nak cuba sifarkan sehingga bulan dua (Februari) tahun depan," tambahnya yang menyifatkan tempoh tersebut merupakan waktu puncak musim tengkujuh di negeri itu.
Dalam pada itu, bagi lokasi di kawasan pedalaman seperti gunung dan kawasan air-air terjun turut dilarang mengadakan perkhemahan atau aktiviti rekreasi berikutan terdapat diantaranya yang dinaiki air dan mengalami banjir.
"Tetapi tempat lain banyak lagi di Terengganu yang pelancong boleh hadir seperti di Pasar Payang, kluster Kuala Tengganu memang buka seluas-luasnya.
"Pasar Payang, Jambatan Angkat boleh ambil gambar. Selepas itu boleh pergi ke Masjid Kristal dan banyak lagi tempat-tempat lain.
"Cuma, arahan-arahan kita secara verbal (lisan), kadang-kadang itu kita hantar surat kepada pihak-pihak berkaitan untuk memastikan keselamatan pelancong," katanya.