SETIU, 12 Julai – Kebajikan dan keselesaan penduduk kampung terus menjadi keutamaan berbanding kemegahan saiz sesuatu projek infrastruktur yang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, biarpun sesebuah projek pembinaan atau naik taraf jalan kampung itu dikategorikan sebagai projek kecil, impak keselesaan kepada komuniti setempat adalah jauh lebih bermakna.

Beliau menjelaskan, projek jalan kampung yang sedang dilaksanakan itu hanyalah sepanjang beberapa ratus meter, namun ia sudah memadai demi kemudahan harian warga Jabi.
“ Projek jalan kampung biasa saja. Tak panjang pun, sekadar beberapa ratus meter sahaja. Apa yang penting ialah biar warga Jabi rasa selesa," katanya.
Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu itu turut menzahirkan rasa rendah diri dan menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
"Saya tak minta apa-apa. Cukuplah kita semua bersyukur kepada Yang Maha Esa," ujarnya lagi.

Sementara itu, rata-rata penduduk tempatan menyambut baik usaha berterusan tersebut yang disifatkan dapat mempermudah urusan harian, khususnya bagi menghubungkan laluan dalam kampung serta kawasan pertanian sekitarnya.

Langkah proaktif itu juga membuktikan komitmen kepimpinan tempatan yang sentiasa peka terhadap keperluan asas masyarakat luar bandar, sekali gus memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada menerima arus pembangunan fizikal.