• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 22 September – Setelah menangguhkan pengoperasian selama beberapa bulan berikutan pandemik COVID-19, destinasi pelancongan berkonsepkan ‘Edutainment’ Taman Tamadun Islam (TTI) kembali dibuka dengan pelbagai promosi menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebagai galakan bagi menarik lebih ramai pengunjung dalam negeri, pihak TTI sentiasa menawarkan tawaran sempena pembukaan ini iaitu ‘Promo Lengkap Vaksin’.

“Promosi ini diberikan kepada para pengunjung yang ingin menyusuri Sungai Terengganu atau meneroka Taman Monumen TTI dengan harga RM10 sahaja bagi kanak-kanak dan warga emas, manakala RM15 sahaja ditawarkan kepada dewasa.

“Bagi pengunjung setia Restoran B'beteng pula, ia akan kembali beroperasi seperti waktu biasa iaitu dari pukul 10 pagi hingga 11 malam dengan menawarkan pelbagai menu istimewa seperti Ayam Soksek, Nasi Kak Murni, Ikan Bakar yang menjadi “trademark” Restoran B’Benteng,” ujarnya selepas merasmikan pembukaan TTI di Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi TTI Management Sdn.Bhd berkata, walaupun sebelum ini, TTI tidak dapat beroperasi sepenuhnya, Restoran B’Beteng masih menawarkan perkhidmatan COD dan 'Dine in', manakala Pusat Konvensyen digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Pengoperasian semula Taman Tamadun Islam yang bermula hari ini akan berpandukan kepada penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keselamatan pengunjung menjadi keutamaan," katanya.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan boleh hubungi TTI di talian: 096278888, serta dapatkan pelbagai informasi di facebook dan instagram Taman Tamadun Islam.

Menurut kenyataan penganjur, perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu menerusi laman sosial rasmi media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram, Wechat, Weibo dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA, dan ikuti twitter di @trgtourism.