Jalur Gemilang
Berita :
Tambang ECRL: Jangan Bebankan Rakyat, Kekang Lonjakan Harga Musim Puncak
Tambang ECRL: Jangan Bebankan Rakyat, Kekang Lonjakan Harga Musim Puncak
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Penyelidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) menggesa kemampuan isi rumah Pantai Timur diberi keutamaan dalam penetapan tambang ECRL, dengan memberi amaran bahawa lonjakan harga ketika musim puncak boleh mendorong pengguna kembali ke jalan raya.

Pegawai Eksekutif Strategi TSIS, Mohd Eikhwan M Ali dan Pegawai Penyelidik Kluster Sosial dan Modal Insan institut itu, Wan Muzhaffar Wan Muda berkata, manfaat penjimatan masa perlu dinilai bersama pendapatan boleh guna penduduk.

“Bagi sebuah keluarga di Pantai Timur, perjalanan pergi dan balik boleh menelan belanja ratusan ringgit hanya untuk tiket asas, belum mengambil kira kos perjalanan batuan pertama dan terakhir ke stesen,” kata mereka dalam penulisan bersama.

Mereka mengulas tambang permulaan kelas Ekonomi bagi perjalanan transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu sebanyak RM125 sehala, ke Kuala Terengganu RM95 dan ke KotaSAS RM60.

Menurut mereka, perjalanan sekitar empat hingga lima jam ke Kota Bharu serta tiga hingga empat jam ke Kuala Terengganu menawarkan penjimatan masa berbanding perjalanan jalan raya yang lazimnya mengambil masa lima hingga tujuh jam, atau melebihi 10 jam ketika musim perayaan.

Namun kata mereka, penjimatan itu sahaja tidak menentukan sama ada tambang berkenaan mampu dibayar pengguna.

“Persepsi sama ada tambang ini murah atau mahal hakikatnya bergantung kepada sejauh mana perkhidmatan rel ini dilihat sebagai keperluan harian yang mampu diakses atau sekadar mod pengangkutan berkala ketika kesesakan lebuh raya memuncak,” kata mereka.

Kedua-duanya merujuk pendapatan kasar bulanan penengah isi rumah di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang berada di bawah paras nasional, iaitu RM7,017.

Bagi kelompok 40 peratus terbawah atau D1–D4, pendapatan kasar bulanan penengah lebih rendah daripada Purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bulanan isi rumah, dengan jurang antara RM645 hingga RM1,713.

Mereka berkata, tambang sehala RM125 bagi laluan Gombak–Kota Bharu dan RM95 bagi Gombak–Kuala Terengganu merupakan perbelanjaan besar bagi isi rumah berpendapatan rendah, mengambil kira perbelanjaan purata kumpulan pengangkutan di Kelantan dan Terengganu masing-masing berjumlah RM495 dan RM520.

Mengulas formula tambang dinamik yang diluluskan Jemaah Menteri, mereka mengakui pendekatan berdasarkan waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk itu dapat membantu kemampanan operasi.

Ia juga dapat menggalakkan perjalanan di luar waktu puncak dan memaksimumkan penggunaan kapasiti 2.2 juta tempat duduk yang dirancang bagi 2027.

Bagaimanapun, mereka membangkitkan risiko kenaikan harga ketika musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti am, apabila ramai perantau mahu pulang ke kampung.

“Sekiranya harga tiket melonjak terlalu tinggi akibat permintaan melambung, pengguna berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa beralih semula kepada bas ekspres atau kenderaan persendirian di jalan raya, sekali gus menafikan matlamat asal ECRL untuk mengurangkan beban kesesakan lebuh raya.

“Kawalan siling harga pada musim puncak wajar dipertahankan agar rasional komersial tidak mengatasi fungsi sosial rel awam ini,” kata mereka.

Mereka menyambut baik diskaun tambang 50 peratus bagi kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan, serta 40 peratus bagi pelajar.

Namun, mereka mahu bantuan diperluaskan kepada pengguna harian, termasuk pekerja dan komuniti perniagaan mikro tempatan.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan pas perjalanan bulanan bersepadu atau tiket bersubsidi khusus bagi pekerja harian dan komuniti perniagaan mikro tempatan di jajaran Pantai Timur,” kata mereka.

Mereka turut mencadangkan jaminan kuota tempat duduk kelas Ekonomi berkadar rendah bagi perjalanan transit harian antara daerah, termasuk dari Chukai atau Kemasik ke Bandar Permaisuri atau Jerteh.

Pada masa sama, mereka mengingatkan bahawa ketiadaan bas pengantara yang cekap dan berpatutan boleh mengehadkan manfaat ECRL kepada penduduk bandar serta golongan berpendapatan sederhana tinggi.

Justeru, sambungan pengangkutan di stesen seperti Pasir Puteh, Jerteh dan Bandar Permaisuri, selain integrasi tiket dengan bas henti-henti serta pengangkutan setempat, perlu diberi perhatian.

Bagi menampung operasi jangka panjang, kedua-duanya mencadangkan hasil diperluas melalui pengangkutan kargo, pembangunan hartanah berasaskan transit di sekitar stesen dan pembezaan kadar tambang kelas Perniagaan.

“Justeru, kelestarian operasi jangka panjang ECRL tidak sewajarnya dibebankan ke atas bahu pengguna.

“Keuntungan daripada segmen bernilai komersial tinggi inilah yang wajar digunakan sebagai subsidi silang (cross-subsidy) bagi mengekalkan tambang asas yang berpatutan untuk rakyat bawahan,” kata mereka.

Menurut mereka, kejayaan ECRL perlu diukur melalui perubahan kualiti hidup penduduk, peningkatan produktiviti serta akses kepada pendidikan, pekerjaan dan kesihatan, selain kutipan tambang atau penyempurnaan jajaran.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan