• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Tangani Fenomena Kekurangan Doktor, Fasiliti dan Penghijrahan Bakat

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Kerajaan Persekutuan digesa untuk menambah baik fasiliti kesihatan dan menyelesaikan masalah kekurangan doktor.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, isu berkenaan dikenal pasti ketika mengadakan lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan di Sarawak baru-baru ini.

Katanya, masalah kekurangan doktor dan fasiliti kesehatan, seperti peralatan x-ray digital sangat mendesak.

“Mordi Bimol, Ahli Parlimen Mas Gading, memberikan sumbangan RM200,000 kepada pihak yang memerlukan kerana tidak ada peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Dr Alias bertanya, adakah KKM akan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang tanggungjawab iaitu perkhidmatan kesihatan negara dan tidak terlibat dalam latihan kepakaran.

"Di mana KKM bukan entiti penyedia pendidikan tinggi yang sepatutnya diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)," soal beliau.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan dalam soal jawab Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata latihan kepakaran di bawah KKM melibatkan RM150 juta setahun.

“Bagi saya, alangkah baiknya jika peruntukan tersebut diberikan keutamaan untuk meningkatkan kemudahan fasiliti kesihatan di seluruh negara terutamanya di negeri yang masih daif di Sarawak berbanding dengan kita menumpukan pendidikan ataupun untuk melatih kepakaran di bawah KKM itu sendiri,” katanya lagi.


Tag: