• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tangani Penyalahgunaan Dadah Melalui Program Pembangunan Belia

KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan negeri memberi penekanan kepada program pembangunan belia sebagai salah satu strategi utama dalam usaha menangani gejala penagihan najis dadah di kalangan generasi muda di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata  antara program yang dilaksanakan ialah Program SKUAD Antidadah, Program Tomorrow's Leader, Program Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab (SMART) dan Program Masjid Angkat Daerah dalam usaha kerajaan negeri memberi pengetahuan serta kemahiran kepada golongan belia berisiko lingkungan umur 19-39 tahun supaya tidak terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah.

 “Seramai 4,095 orang berdaftar di Negeri Terengganu di bawah SKUAD Antidadah ini. Ahli Jawatankuasa SKUAD Antidadah dan ahli akan diberi latihan bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran dalam melaksanakan fungsi dan peranannya sebagai sukarelawan.

“Program Tomorrow's Leader pula mensasarkan pelajar-pelajar di IPTA, IPTS, Institut Latihan, Institut Kemahiran, Politeknik dan Kolej Komuniti yang terpilih di seluruh daerah di Terengganu bagi memastikan pelajar dan warga IPT mempunyai pengetahuan, kesedaran dan kemahiran mengenai gaya hidup sihat tanpa dadah.

“Manakala Program SMART mendedahkan golongan belia berisiko dengan pengetahuan, kesedaran dan maklumat tentang bahaya serta risiko penagihan dadah dan mewujudkan belia bebas dadah yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,”ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk  berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor  dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambah Dr Muhammad Khalil lagi,  pelaksanaan program Keagamaan dan Kerohanian menggunakan Modul Takziyah An Nafs (AADK) di bawah Program Bimbingan Fardu Ain yang meliputi bab Orientasi, Akidah, Feqah, Al Quran, Akhlak dan Sirah diadakan di Masjid Angkat Daerah dan Pejabat AADK 

“Program ini telah disusunkan jadual oleh Pegawai Pemulihan setiap daerah dan dilaksanakan oleh Guru Takmir setiap daerah dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam AADK sebanyak tiga hingga empat kali sebulan, "katanya.