• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tasik Kenyir Sebagai Geopark Kebangsaan Dalam Fasa Penilaian Terakhir

HULU TERENGGANU, 11 Mac - Hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan dijangka dapat direalisasikan akhir tahun ini.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, proses yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahaan Iklim (NRECC) kini dalam fasa penilaian akhir untuk diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan.

"Kita berharap akan mendapat keputusan tahun ni dan proses ini masih berjalan oleh lembaga penilaian yang akan membentangkan hasil penilaian kepada geopark kebangsaan dahulu.Sekiranya tidak ada apa-apa halangan, Kenyir Geopark akan direalisasikan selewat-lewatnya bulan 10 tahun ini.

"Geran ataupun bantuan kewangan datang dengan sendirinya selepas kita dapat kelulusan penamaan geopark Kenyir sebagai satu jenama.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup bagi sesi penilaian inspiring Tasik Kenyir sebagai tapak geopark kebangsaan di Warisan Pahlawan Resort di sini, semalam.

Tambah Tun Ahmad Faisal, semua jawatankuasa telah digerakkan oleh agensi setempat, di samping merangka program yang melibatkan komuniti setempat bagi memperkuatkan lagi konsep geopark.

Jelasnya lagi, usaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai Geopark bermula sejak 2015 dan dokumen berkaitan dihantar dua tahun kemudian, namun, gagal disebabkan beberapa faktor termasuk tiada pihak yang bersetuju untuk mengetuai rancangan itu.

Beliau juga berkata jika hasrat tersebut terlaksana, pelbagai manfaat akan dinikmati dari sudut ekonomi, peluang pekerjaan, perkembangan sektor pelancongan yang akan menarik pelancong dari dalam dan luar negara apabila berjaya mendapat penarafan geopark kebangsaan kelak.

Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan.

Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna.

Ia juga adalah lokasi di mana fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ - yang berusia 16,000 tahun.