• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Tawar Kediaman Berkualiti, Bina 500 Unit PPR Bukit Nanas


Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara membina 500 unit kediaman dibawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas di Tepoh, Kuala Nerus.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, projek pembangunan untuk golongan berpendapatan rendah yang menelan belanja RM83.475 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada awal 2020.

“Pembinaan 500 unit rumah pangsa setinggi lima tingkat ini turut disediakan kemudahan surau, taska, tadika, taman permainan, kedai serta dewan orang ramai di atas tapak seluas 6.96 hektar.

“Malah, kediaman tiga bilik dan dua bilik air itu dipertingkatkan dari segi keluasan dan reka bentuknya dimana kalau dulu saiz setiap unit adalah 650 kaki persegi tetapi kali ini keluasannya bertambah kepada 700 kaki persegi malah turut dilengkapi lantai berjubin dan harganya masih sama serendah RM35,000 setelah diberikan subsidi oleh kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas penyempurnaan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Tepoh, Kuala Nerus.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan barisan Exco kerajaan negeri.


Katanya, PPR Bukit Nanas merupakan projek kedua di negeri ini (selepas Padang Hiliran), dengan kedudukannya yang strategik  akan memberikan kemudahan perumahan yang berkualiti, selesa serta mampu disewa atau dibeli oleh golongan yang berpendapatan rendah.

“PPR merupakan salah satu inisiatif kerajaan Pusat untuk membantu rakyat mendapatkan kemudahan rumah yang selesa menerusi pemberian subsidi 80 peratus daripada kos pembinaan sekitar RM110,000 hingga RM140,000,” ujarnya.

Noh berkata, kaedah sewa untuk dimiliki (RTO) telah diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang secara tidak langsung memudahkan rakyat yang memohon unit PPR kerana tidak perlu membuat pinjaman bank.

“Pemohon yang layak dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan hanya perlu melalui proses penyewaan untuk tempoh dua tahun sebelum layak diberi pemilikan,” ujarnya.

Menurut Noh, kementeriannya kini melaksanakan dasar baharu iaitu mempamerkan nama pemohon PPR yang berjaya supaya berita penerimaan itu dapat dilihat seluruh rakyat sekali gus dapat memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan belum memiliki rumah berhak mendapat manfaat tersebut.

Tag: