• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah

 


HULU TERENGGANU, 21 Ogos - Bersempena Bulan Kemerdekaan 2020,TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) julung kali menganjurkan Program Gateh Jejak Sejarah dengan menjelajah tempat-tempat bersejarah di Kuala Berang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff, berkata cetusan idea bagi meningkatkan budaya intelektual dan kesedaran sejarah sebelum kemerdekaan di kalangan kakitangan Kumpulan TDM disamping dapat meningkatkan jati diri dengan memahami sejarah dan warisan. 

"Saya difahamkan bahawa Kuala Berang ni adalah satu tempat yang banyak unsur-unsur bersejarah seperti Batu bersurat telah ditemukan di sini dan juga kalau kita lihat daripada asal sejarah kerajaan Kesultanan Terengganu ni pun berpusat di Kuala Berang.

"Di samping itu kerajaan Kesultanan dan sebagainya termasuk ulama-ulama yang merupakan waris-waris daripada Nabi dan sebagainya yang diceritakan bertapak di sini.

"Ia satu perkara yang wajar kepada generasi muda untuk lihat semula bagaimana kita pada satu waktu dulu adalah satu bangsa yang gagah berpandukan agama Islam dan ulama,"ujarnya.

Zainal berkata demikian kepada pemberita di pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah sempena bulan Kemerdekaan di Dataran Kuala Berang, semalam.

Antara tempat-tempat bersejarah yang  dilawati sempena program Gateh Jejak Sejarah Siri 1 ini ialah Tapak Surau Tok Abdul Rashid, Kampung Buluh , Telaga Tok Abdul Rashid,  Kubur Tok Abdul Rashid, Tanah Batu (tempat Asal Batu Bersurat) dan Memorial Batu Bersurat.

Tanah Batu

Pada masa yang sama, turut menziarahi Makam Tuk Raja Ri, Kubur Tuk Gajah (Imam Perang Rasu bin Shahrum), Makam Syeikh Abdul Qahar, Masjid Kampung Dusun, Makam Shariff Muhamad Al Baghdadi, Makam Tok Kawah dan Makam Syeikh Abdullah (Tuk Pauh).

Masjid Kampung Dusun
Geduk di Masjid Kampung Dusun
 

Tambah beliau, program jelajah siri seterusnya masih dalam perancangan dan akan dikembangkan ke setiap daerah dengan penyertaan yang lebih meluas.

"Saya dapat maklumat sebenarnya permintaan lebih daripada apa yang kami mampu sediakan pada hari ini jadi atas dasar itu saya berhasrat untuk mengadakan ulangan dan buka kepada rakan-rakan seterusnya kepada umum jika terus mendapat sambutan," katanya.