• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TDM Plantation Jalin Kerjasama Dengan UCTATI Tingkat Produktiviti Syarikat

KUALA TERENGGANU, 3 Disember-  TDM Berhad melalui bahagian perladangannya, TDM Plantation Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti  Kolej TATI (UCTATI) untuk meningkatkan produktiviti dan operasi syarikat melalui teknologi mekanisasi dan perkongsian kepakaran inovasi. 

Pada majlis MoU yang berlangsung di Hotel Permai semalam, TDM Plantation diwakili  Penasihat Perladangan TDM Jalaini Che Kar dan Ketua Pegawai Eksekutif  TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim.

Manakala  UCTATI diwakili rektornya Profesor Dr. Anuar Ahmad dan Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Profesor Madya Ts. Dr.Rosliza Ramli.

Turut menyaksikan MoU tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat dan  Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin.

Menurut Hamdan, kerjasama itu merupakan satu peluang bagi syarikat untuk mendapatkan pandangan dalam bidang inovasi teknologi dan mekanisasi, serta automasi daripada pemain industri yang berpengalaman dan berkebolehan tinggi.

"Peluang ini membolehkan syarikat menambah baik operasi melalui kemajuan teknologi, seterusnya memastikan pergerakan syarikat selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 dan Internet of Things (IoT).

“TDM Plantation Sdn Bhd bukan sahaja bertujuan untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan ekosistem perladangan, tetapi juga untuk memastikan sistem sokongan yang baik dapat disediakan. Ini termasuklah infrastruktur, kemudahan, latihan dan ilmu pengetahuan yang berkaitan untuk mekanisasi operasi perladangan, menyelesaikan masalah kekurangan tenaga yang semakin meruncing di ladang dan memastikan syarikat kekal berdaya saing, terutamanya ketika mengharungi wabak pandemik kini," ujarnya.

Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing.

Dalam tanggungjawab yang dipersetujui, UCTATI akan memberikan sokongan dan nasihat yang diperlukan berhubung dengan inovasi dan mekanisasi aktiviti operasi perladangan, penganjuran simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat berkenaan inovasi dan mekanisasi perladangan, perkongsian hasil penyelidikan untuk faedah komersial bagi kedua-dua pihak dan mana-mana bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama.

Sementara itu, Dr Anuar berkata, dengan rangkaian pakar berkemahiran tinggi yang cekap, lengkap dengan keupayaan dalam pelbagai bidang teknikal, pihaknya yakin untuk menyokong TDM Plantation Sdn Bhd kearah merealisasikan potensi syarikat sepenuhnya. 

“Kami mengharapkan hasil positif daripada gabungan keupayaan TDM Plantation Sdn Bhd dengan kepakaran teknikal UCTATI. Kita juga bersedia membantu pihak mereka dalam menangani cabaran masa kini dan jangka panjang yang boleh mengganggu momentum syarikat, termasuk dalam usaha mengurangkan beban kerja yang intensif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia melalui mekanisasi dan automasi teknologi,” katanya.

TDM Plantation Sdn Bhd sebelum ini memeterai perjanjian dengan Edaran Badang Sdn. Bhd. bagi mendapatkan jentera Mechanical Buffalos untuk kegunaan ladang.