• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Teknologi Digital Hasilkan Melon Manis Berkualiti

DUNGUN, 21 April - Teknologi Digital Automation yang dipraktikkan di Ladang Melon Manis Terengganu (MMT) Rimbunan Kaseh, Rantau Abang berjaya menghasilkan buah secara berterusan dan kualitinya terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, menerusi teknologi digital tersebut, kepekatan baja dan PH air dapat dikawal sepenuhnya berdasarkan pertumbuhan semasa pokok melon.

"Maknanya kita boleh campur dengan lebih tepat dari segi kepekatannya, dari segi nisbah, di masa yang sama dapat memastikan PH air berada pada tahap optimum sekaligus boleh meminimakan 'human error', selain itu dapat menjimatkan ruang serta tenaga kerja untuk menjamin produktiviti yang lebih baik," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Teknologi Digital Automation MMT di Rimbunan Kaseh, Rantau Abang.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (Ekonomi Makro), Ahmad Ridzwan Abd. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Wan Adnan Wan Derahman,  Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Azhar Jusoh dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh. 

Menurutnya, dengan penggunaan teknologi, projek MMT terus mengorak langkah  pada masa hadapan memandangkan pengeluaran buah tersebut masih lagi tidak mencukupi. 

"Tanah yang terbiar di Rimbunan Kaseh ini akan dimanfaatkan untuk tanaman Melon Manis Terengganu di dalam menjayakan Tahun Pertanian Terengganu," katanya. 


Tag: