Berita :
Temasya Budaya Terengganu 2026 Sasar 70,000 Pengunjung
Temasya Budaya Terengganu 2026 Sasar 70,000 Pengunjung
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Temasya Budaya Terengganu (TBT) 2026 menyasarkan kehadiran seramai 70,000 orang pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula semalam.

Program yang berlangsung di Dataran Shahbandar itu merupakan penjenamaan semula daripada 'Temasya Tranung Kite' (TEGAK), menjadi antara persediaan ke arah Tahun Melawat Terengganu 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran TBT 2026 amat bertepatan dengan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dengan momentum itu juga, beliau optimis sasaran keseluruhan 9 juta pelancong ke Terengganu mampu direalisasikan melalui strategi pembangunan lima kluster pelancongan negeri.

"Rekod Suku Tahun Pertama 2026 membuktikan kebangkitan sektor ini, di mana Terengganu mencatatkan 2.45 juta kehadiran pelancong berbanding 2.03 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu. 

"Kita optimis sasaran 9 juta pelancong ke Terengganu mampu direalisasikan," katanya yang mewakili Menteri Besar ketika merasmikan program tersebut, semalam.

Beliau turut menambah bahawa pada malam perasmian sahaja, kehadiran dianggarkan telah melebihi 6,000 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum dan pelancong asing.

Penganjuran TBT 2026 merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKKN). 

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOTAC melalui JKKN atas penganjuran program berimpak tinggi ini.

"Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), serta sinergi luar biasa lebih 70 entiti agensi kerajaan, swasta, korporat, NGO, dan para penaja yang menjayakan citra mega pada malam ini," ucap Razali.

Senada dengan kenyataan itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Dato' Shaharuddin Abu Sohot menegaskan bahawa sokongan padu daripada Kerajaan Negeri adalah faktor kritikal bagi meneruskan kelestarian seni warisan. 

"Sinergi erat yang terjalin antara agensi Persekutuan, Negeri, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mencerminkan semangat kesejahteraan dan perpaduan yang jitu.

"Sesungguhnya, sokongan padu daripada Kerajaan Negeri amat kritikal dalam memastikan keunikan seni warisan kita terus terpelihara dan subur merentas generasi," katanya.

Menurut Shaharuddin, sebanyak 30 NGO kebudayaan di Terengganu telah menerima manfaat daripada Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) bernilai RM1.3 juta daripada MOTAC pada tahun 2025.

"MOTAC yakin bahawa inisiatif ini akan terus memangkin daya cipta penggiat seni tempatan untuk merancakkan lagi aktiviti yang menyumbang kepada kelestarian industri kreatif negara," ujarnya.

Tambah beliau, Terengganu telah menerima kelulusan 76 projek melalui MOTAC dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM31.26 juta bagi pembangunan infrastruktur pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Ulasnya lagi, antara projek berimpak tinggi yang diberi tumpuan termasuklah pembinaan dan usaha menaik taraf Kampung Budaya Terengganu.

"Pembangunan infrastruktur yang ditambah baik ini bersandarkan prinsip kemampanan bagi menyokong penuh kempen Tahun Melawat Terengganu 2027 dengan menyediakan fasiliti terbaik kepada pengunjung.

"Segala langkah dan strategi sedia ada ini sentiasa dipandu secara konsisten oleh Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN)," ujar beliau.


Ketupat

Artikel Berkaitan