Foto: Facebook Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) memaklumkan bahawa ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali direhatkan, berkuat kuasa serta-merta.
Kenyataan yang dikeluarkan hari ini itu, turut mengumumkan penolong jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan, telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu secara rasmi.
"Dengan ini, TFCSB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badrul Afzan bin Razali atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang bersama pasukan," jelas kenyataan tersebut.
Keputusan berkenaan menyaksikan Badrul hanya sempat berkhidmat sebagai ketua jurulatih selama setengah musim selepas dilantik pada Jun lalu.
Sebelum ini, media melaporkan pihak Terengganu FC memberi peluang kepada Badrul memimpin pasukan buat tiga perlawanan selepas seri 1-1 menentang Negeri Sembilan FC pada November, berikutan prestasi tidak menentu pasukan.
Ternyata, setelah berdepan kekalahan di tangan Sabah FC menjadi titik penamat kepada Badrul.
Sebagai rekod, Terengganu FC menang lima perlawanan, tiga seri dan empat kekalahan di bawah bimbingan Badrul musim ini.