Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Alu-alukan Penggambaran Filem, Asal Patuh Syarat
Terengganu Alu-alukan Penggambaran Filem, Asal Patuh Syarat
Rohayati Ripin
18 Oct 26
2

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Kerajaan Terengganu mengalu-alukan syarikat produksi menjadikan negeri ini sebagai lokasi penggambaran filem, namun menegaskan setiap penerbitan perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi menjaga sensitiviti masyarakat, budaya serta imej negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, industri perfileman berpotensi menjadi medium promosi pelancongan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya, keterbukaan kerajaan negeri bukan bermakna syarikat produksi bebas menjalankan penggambaran tanpa mengambil kira dasar dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan minat industri perfileman untuk memilih Terengganu sebagai lokasi penggambaran kerana berpotensi mempromosikan keunikan negeri serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

“Walau bagaimanapun, setiap penerbitan hendaklah menghormati sensitiviti masyarakat, adat dan budaya setempat serta mematuhi peraturan yang berkuat kuasa demi menjaga imej dan kepentingan negeri,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Razali berkata, setiap syarikat produksi diwajibkan mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri melalui jawatankuasa berkaitan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum penggambaran bermula.

Menurutnya, permohonan perlu disertakan maklumat lengkap projek selain mendapatkan kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terlebih dahulu.

“Pihak produksi seterusnya akan dipanggil untuk sesi pembentangan dan perbincangan bersama kerajaan negeri, jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan serta pemilik lokasi berkaitan.

“Setiap permohonan akan diteliti berdasarkan kesesuaian projek, pematuhan terhadap dasar dan peraturan serta kepentingan negeri.

“Pengemukaan permohonan tidak bermaksud kelulusan diberikan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada pertimbangan kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri berhak menolak sebarang cadangan penggambaran pada peringkat awal sekiranya kandungan atau pelaksanaannya didapati tidak selaras dengan dasar, nilai dan kepentingan negeri.

Katanya, sepanjang penggambaran berlangsung, pihak produksi wajib mematuhi Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002, Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu serta peraturan lain yang berkuat kuasa.

“Sekiranya berlaku pelanggaran syarat selepas kebenaran diberikan, pihak berkuasa boleh menyemak semula atau menarik balik kebenaran tersebut.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk pengenaan kompaun juga boleh diambil bagi kesalahan berkaitan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Razali memaklumkan sebanyak 15 penerbitan melibatkan filem, drama, dokumentari, travelog dan rancangan televisyen direkodkan menjalankan penggambaran di Terengganu sepanjang tempoh 2018 hingga 2026.

Antaranya termasuk 3 Hajat, The Last Dive / Selam OK serta filem terbaharu yang dirancang menjalani penggambaran di negeri ini, Langit 2 Warna.

Menurutnya, sebahagian penerbitan tersebut mendapat kerjasama rasmi kerajaan negeri, manakala selebihnya dilaksanakan tanpa kerjasama berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, filem Langit 2 Warna terbitan Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. yang diarahkan dan diterbitkan oleh Erma Fatima dijadualkan memulakan penggambaran pada November depan.

Katanya, kira-kira 60 peratus penggambaran filem berkenaan dirancang berlangsung di Terengganu, membabitkan beberapa lokasi sekitar Kuala Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus.

“Filem ini mengetengahkan tema percintaan, kekeluargaan, perbezaan pegangan dan penyatuan masyarakat merentasi budaya.

“Cadangan penggambaran telah dipersetujui secara dasar, namun masih tertakluk kepada kelulusan permit dan kebenaran pihak berkuasa serta pengurusan lokasi sebelum dilaksanakan,” ujarnya.

Razali menegaskan, kerajaan negeri akan terus menyokong perkembangan industri kreatif yang mampu mengangkat keunikan Terengganu ke peringkat lebih luas, selagi penerbitan dilaksanakan secara bertanggungjawab serta menghormati nilai, budaya dan warisan negeri.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan