KUALA TERENGGANU, 8 April – Terengganu mengalu-alukan kehadiran mana-mana produser dan kru produksi untuk menjalankan penggambaran di negeri ini dengan menegaskan bahawa setiap produksi perlu mematuhi garis panduan negeri serta berteraskan pendekatan mesra syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, setiap produksi perlu berurusan dengan Jabatan Pelancongan untuk dinilai secara menyeluruh, merangkumi aspek operasi dan juga kandungan.
Menurut beliau, pendekatan Terengganu bukan sekadar menjaga lokasi penggambaran, sebaliknya turut menitikberatkan nilai yang dibawa melalui karya.
“Di Terengganu, kita bukan hanya jaga lokas, kita jaga nilai, skrip, mesej, pemakaian dan semuanya mesti selari dengan budaya tempatan dan prinsip syariah,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri membuka ruang seluasnya kepada industri kreatif untuk berkarya, namun tidak akan berkompromi sekiranya nilai negeri diabaikan.
Bagi memastikan pematuhan, setiap produksi diwajibkan melalui Jawatankuasa Penapisan dengan pembentangan awal sebelum kelulusan diberikan.
“Pemantauan bukan hanya di atas kertas, tetapi berterusan di lapangan.
"Kalau ada pelanggaran, kita tidak akan berkompromi dgn tindakan kompaun sehingga RM25,000 bagi setiap kesalahan boleh dikenakan sebagai pengajaran," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa langkah tersebut bukan bertujuan menyekat industri, sebaliknya memastikan semua pihak menghormati undang-undang serta identiti negeri.
"Kita sediakan garis panduan yang jelas, beri nasihat dan bimbingan supaya produksi dapat berjalan dengan lancar tanpa tersasar dari identiti negeri.
"Malah, kita bersedia membantu dari segi kemudahan dan sokongan logistik.
"Yang penting, industri berkembang tetapi jati diri, budaya dan prinsip Terengganu tetap terpelihara," tambah beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan yang diambil adalah bersifat inklusif, di mana produksi bukan berasaskan Islam dialu-alukan selagi menepati konsep mesra Muslim.
Tag :