• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu Bakal Laksana Projek BESS Pertama di Semenanjung - Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah satu projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 megawatt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun sekali gus menjadi projek pertama di Semenanjung Malaysia.

Baginda bertitah, projek berkenaan bakal menjadi pemangkin untuk membolehkan integrasi tenaga solar ke dalam rangkaian grid.

"Beta melihat perkembangan BESS telah mengubah landskap industri tenaga hijau dengan potensinya untuk dimanfaatkan bagi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan lebih cekap.

"Seiring dengan perkara tersebut, bagi mengurangkang jejak karbon dan mencapai sasaran tenaga hijau (maka) satu projek BESS berkapasiti 100 mega watt bakal dilaksanakan di Kampung Santong," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Baginda bertitah bagi menyokong negara Rendah Karbon 2040, di bawah Dasar Tenaga 2022 hingga 20240 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Industri Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024 hingga 2030 telah dirangka dan akan dilancarkan pada tahun ini.

"kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh baharu, pengurusan dan pengkomersialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru) merupakan lima fokus industri di Terengganu yang telah dikenal pasti untuk diteroka.

"Sebagai sumber pendapatan baharu kerajaan Beta," titah baginda.