MARANG, 21 November - Kerajaan negeri bakal memperkenalkan bantuan khas berkonsepkan Islam menerusi pinjaman tanpa faedah dikenali sebagai Skim Bantuan Tani khusus untuk rakyat yang menceburi dalam industri pertanian bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Skim Bantuan Tani ini adalah satu skim bantuan yang akan dijadikan sebagai satu sumber dana untuk membiayai rakyat yang menceburi empat sektor utama iaitu pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani dalam bentuk pinjaman tanpa faedah yang diuruskan oleh pihak Lembaga Pertubuhan Peladang.
Katanya, jumlah dana yang akan disuntik ke dalam skim bantuan tani berkenaan akan diumumkan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam bajet pada 25 November ini.
"Usahawan tani yang berhasrat memajukan bidang pertanian diseru rebut peluang ini dengan membuat permohonan mulai tahun depan, tetapi perlu membayar balik pinjaman dalam tempoh yang akan ditentukan pihak jawatankuasa skim bantuan.
"Dari segi kelulusan skim bantuan tani ini, jawatankuasa induk skim bantuan yang dipengerusikan exco pertanian sendiri akan menimbang dari segi permohonan dengan turun ke lapangan untuk melihat segala aspek," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Dialog bersama Exco Pertanian bertempat di Dewan Semarak Pantai Kelulut, dekat sini, semalam.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai Khas ADUN Rhu Rendang, Wahad Osman.
Mengulas lebih lanjut mengenai syarat skim bantuan tersebut, ianya bergantung kepada apa yang pemohon hendak usahakan dan jawatankuasa induk bersama panel akan turun ke lapangan bagi menilai sesuatu projek yang hendak diusahakan manakala satu tempoh akan diberikan kepada pemohon, bergantung pada industri apa yang hendak ceburi untuk mereka mula membayar.
Menurutnya, ada industri yang mungkin selepas tiga hingga enam bulan perlu bayar, ataupun akan pertimbangkan tempoh yang lama dan apa yang penting, kita tidak mahu bebankan peminjam seperti buat pinjaman hari ini, bulan depan terus kena bayar dalam masa yang sama mereka sedangkan belum mendapat sebarang hasil daripada apa yang hendak diusahakan.
"Yang paling utama sekali, kita hendak supaya halangan-halangan rakyat kita untuk bekerja itu kita cuba permudahkan. Itulah matlamat kita sebab kerajaan tidak mengambil kira untung rugi nak bantu rakyat, apa yang kita hendak biar rakyat yang untung.
“Isu rakyat kita yang hendak memulakan industri tetapi mereka kekurangan modal maka kerajaan perlu mempunyai satu alternatif. Kalau rakyat ini hendak membuat pinjaman bank tentu sekali mereka terikat dengan syarat-syarat ketat pinjaman bank, kadar faedah, cagaran dan sebagainya yang di luar dari kemampuan sebahagian besar daripada rakyat kita," ujarnya.