• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Belanja RM29.9 Juta Taja Pelajar Ke Universiti Luar Negara


Ahmad Razif bersama lima pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka  di Jerman, pada pertengahan bulan ini. Foto oleh Zulkifli Putra

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) memperuntukkan lebih RM29.9 juta bagi menaja seramai 468 anak Terengganu menyambung pelajaran ke universiti luar negara bagi sesi pengajian 2016/2017.

Daripada jumlah itu, lima pelajar akan ditaja melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Jerman, pada pertengahan bulan ini, membabitkan peruntukan RM182,000.

Lima pelajar berkenaan Ahmad Azharul Azri Amri; Ahmad Nizam Najmi Abd Wahab; Amerul Atiq Yahaya; Abdul Latif Sa'id dan Mahirah Hanim Abdul Rahim masing-masing menerima wang pendahuluan berjumlah RM36,411.95.

Ahmad Azharul Azri dan Mahirah Hanim akan melanjutkan pengajian di Universiti Sprachzentral Leipzig; manakala Ahmad Nizam Najmi, Amerul Atiq dan Abdul Latif masing-masing di Universiti Weilhem, Kassel dan Dusseldorf.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, 12 pelajar pula masih dalam tempoh menunggu untuk melanjutkan pengajian di University of Nottingham, United Kingdom pada September nanti.

Katanya, seramai 12 pelajar kini sedang melanjutkan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan Aeroangkasa di universiti terkemuka di Jerman.

“Pihaknya menerusi Yayasan Terengganu  tetap meneruskan tajaan kepada mana-mana  pelajar yang lulus cemerlang sama ada dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Matrikulasi ke universiti luar negara, biarpun berdepan kekangan ekonomi.


“Adalah tidak benar dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan negeri sudah menghentikan penajaan pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara kerana hakikatnya program ini tetap diteruskan, cuma jumlahnya berkurangan sedikit daripada kebiasaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri kepada lima pelajar tajaan YT dalam bidang kejuruteraan ke Jerman di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang dan Pengarah YT, Mohamad Sulong.



Tag: