• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Benarkan Ibadat Korban, Solat Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Umat Islam di Terengganu dibenarkan untuk melakukan ibadat korban dan menunaikan Solat Aidiladha pada hujung bulan ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, selain mendapat persetujuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Osman Muda berkata, pada masa yang sama aktiviti keagamaan seperti ceramah turut diperluaskan di semua masjid dan surau.

Selain itu katanya, ia termasuk kuliah dhuha, maghrib dan isyak yang disampaikan oleh pendakwah bertauliah, solat sunat dan solat jenazah, penggunaan beranda dan tandas.

“Turut dibenarkan penggunaan tandas dan ruang wuduk kecuali kolah masih dilarang.

“Jemaah yang hadir diwajibkan mengikuti SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagi mereka yang mahu melakukan ibadah korban, boleh dilakukan di perkarangan masjid, surau, rumah dan kawasan lapang.

“Lokasi lain termasuk, rumah penyembelihan kerajaan dan swasta yang dilesenkan Jabatan Veteriner Terengganu dan mana-mana lokasi yang dibenarkan Jabatan Hal Ehwal AgamaTerengganu (JHEAT).

“Mereka yang terlibat perlu mengisi borang kebenaran yang disediakan JHEAT .

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP ibadah korban, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 atau undang-undang berkaitan,” katanya.


Tag: