Terengganu Berisiko Alami Krisis Bekalan Ayam?
KUALA TERENGGANU, 17 April – Terengganu kini berdepan risiko besar kehilangan lebih separuh ladang unggas sedia ada sekiranya isu kelulusan merancang (KM) yang membelenggu penternak tidak diselesaikan segera, sekali gus bakal menjejaskan keterjaminan bekalan ayam pedaging negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, tekanan terhadap penternak semakin memuncak apabila terpaksa menanggung kos tinggi bagi mendapatkan KM yang merupakan syarat mutlak dalam proses pemutihan dan perlesenan ladang unggas.
“Dalam proses pemutihan dan perlesenan ladang-ladang unggas, semua ladang samada yang telah sedia ada atau baru dibina perlu memiliki KM daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih di Wisma Darul Iman semalam.
Beliau menjelaskan, isu ini dibangkitkan ADUN Manir, Hilmi Harun, yang menyuarakan kebimbangan tentang caj pemajuan dan bayaran denda bina dahulu tanpa kelulusan yang melambung tinggi, hingga mencecah ratusan ribu ringgit serta di luar kemampuan pengusaha.
“Kami maklum bahawa isu besar ini belum selesai, malah banyak penternak telah membuat aduan berkaitan kos keterlaluan dan permit sementara yang membebankan,” ujarnya.
Dr. Azman memberi amaran bahawa jika isu ini terus dibiarkan, Terengganu bakal kehilangan lebih 50 peratus ladang unggas sedia ada dan akan memberi kesan langsung kepada kadar tahap sara diri (SSR) ayam pedaging negeri.
“Ia akan menjadi pukulan yang hebat kepada SSR bekalan ayam pedaging negeri yang akan menurun dari 71 peratus kepada kira-kira 30 peratus sahaja,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak akan lepas tangan dan sedang mengatur sesi libat urus segera melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mencari jalan penyelesaian paling harmoni dalam kerangka peraturan sedia ada.
“Kami ambil tanggungjawab penuh untuk merungkai isu ini secara 'win-win situation' antara Pertanian dan PBT,” jelasnya.