• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Dijangka Ke Fasa Tiga PPN September Ini

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Terengganu dijangka akan beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada September ini selepas proses vaksinasi telah mencapai 60 peratus penerima bagi dos pertama dan 35 peratus penerima dos kedua.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak lima peratus lagi jumlah penerima dos lengkap perlu dicapai untuk membolehkan Terengganu mencapai syarat memasuki fasa seterusnya PPN.

"Kita jangkakan dalam seminggu dua ini, sekiranya bekalan vaksin yang tiba lancar sebagaimana perancangan kita, kita akan capai sasaran itu.

"Dari sudut perkara lain seperti situasi di wad rawatan rapi (ICU) dan sebagainya, kita dalam keadaan terkawal.

"Insya-Allah, kalau semuanya mengikut perancangan, pada bulan September kita mampu ke fasa seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Tengku Seri Bijaya Raja Pegawai Kewangan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Semalam, Terengganu merekodkan 28,479 pemberian vaksin di negeri terbabit dan merupakan dos tertinggi pernah disuntik.

Tambah Ahmad Samsuri, Terengganu turut termasuk dalam pembukaan 11 kategori aktiviti ekonomi yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita menyambut baik dan akan buka aktiviti-aktiviti ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN.

"Kepada rakyat, saya nasihatkan kita sama-sama ikut SOP, jaga diri dan keluarga supaya kita tidak membentuk kluster baru dalam masyarakat, barulah kita boleh beralih ke fasa seterusnya," katanya.

 


Tag: