• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

Terengganu FC Daki Tangga Ketiga Liga Super 2020

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga CIMB Liga Super Malaysia 2020 setelah menang tipis 2-1 kepada Pahang dalam aksi terakhir liga, malam ini.

Beraksi di gelanggang sendiri, Sang Penyu nyata berkelebihan di atas kertas apabila turun dengan lima import berbanding Tok Gajah yang hanya menurunkan Adam Micheal Tull sebagai awang import.

Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan perlawanan dengan serangan awal ke kubu lawan, namun tidak berhasil dengan pelawat lebih banyak bertahan.

Pada minit ke-12, skuad kendalian Dollah Salleh mengejutkan tuan rumah apabila pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk Pahang mendahului 1-0.

Tiga minit berselang, Terengganu FC berjaya menyamakan kedudukan apabila Dominic Da Slyva dijatuhkan oleh Helmi Eliza dalam kotak penalti hasil serangan balas yang digerakkan Lee Tuck.

Penjaring terbanyak pasukan itu tenang menyempurnakannya. ‹Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sang Penyu menggandakan asakan untuk mengatasi lawan.

Pada minit ke-61, Faris Ramli hampir menjarakkan kedudukan, namun sungkitannya yang melepasi jangkauan Helmi berjaya dikeluarkan Fazly Mazlan.

Terengganu FC akhirnya berjaya mengambil kesempatan atas kekurangan pasukan Pahang yang terpaksa bermain sepuluh pemain setelah Muhammad Hardee Shamsuri yang tercedera pada 10 minit terakhir perlawanan.

Lee Tuck muncul wira Sang Penyu apabila menolak mudah hantaran lintang pemain meningkat naik, Muhammad Azam Azmi Murad ke gawang Tok Gajah pada minit ke-82.

Tuan rumah cuba menambah gol, tetapi kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.

Terengganu FC menamatkan liga dengan mengumpul 19 mata, di belakang Kedah di tangga kedua dan juara liga, Johor Darul Ta'zim.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: