• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu FC II Kekal Rentak Kemenangan

KUALA TERENGGANU, 27 Julai- Gol jaringan Jordan Mintah membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) II terus mengekalkan kemenangan dalam aksi pusingan kedua Liga Premier 2021, malam ini.

The Turtle yang melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas pasukan di tangga kedua liga itu.

Skuad kendalian Badrul Afzan turun tanpa kehadiran pemain tengah, Masaki Watanabe yang mengalami kecederaan setelah pulang dari Kuching dengan misi mengekalkan rentak kemenangan pusingan pertama.

Tempo permainan kedua-dua pasukan bermula perlahan, namun semakin kemas tetapi kurang ancaman ke pintu gol.

Separuh masa pertama berakhir dengan skor kekal 0-0.

Memasuki babak kedua, Terengganu FC mula mengancam kubu pelawat.

Pada minit ke-56, Amirul Syazwan mendapat umpanan kemas Jordan Mintah di dalam kotak penalti, namun rembatannya hanya menggegar palang gol.

Terengganu FC II kemudian mendapat sepakan bebas di luar kotak penalti lawan dan Mintah tenang melencongkan bola ke sisi kiri gol menewaskan Damien Chien Khai Lim pada minit ke-66.

Ketinggalan satu gol, skuad Hobin Jang Hobin meningkatkan serangan ke kubu tuan rumah, tetapi gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Terengganu FC II kekal mendahului Negeri Sembilan FC sehingga wisel penamat ditiupkan.

The Turtle kini masih di tangga ketiga liga dengan 22 mata, dua mata di belakang pendahulu liga, Sarawak United.

Manakala, Jordan Mintah kini mendahului catatan penjaring terbanyak Liga Premier dengan 12 gol.

 


Tag: