• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu FC II Tempat Ketiga Liga Premier 2021

KUALA TERENGGANU, 21 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC II) terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga Liga Premier 2021 apabila tewas 0-1 kepada Kelantan United FC (KUFC) dalam aksi terakhir liga, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dengan KUFC sebagai tuan rumah, Terengganu FC II mendominasi permainan dengan serangan seawal minit keenam, namun rembatan Jordan Mintah ditepis Muhammad Fikri Che Soh untuk sepakan sudut buat pelawat.

Tuan rumah pula lebih banyak bertahan sambil melakukan serangan balas ke kubu lawan.

Pada minit ke-19, Kelantan United memperolehi peluang terbaik apabila sepakan sudut Muhammad Amirul Syafik Che Soh gagal dikeluarkan penjaga gol Terengganu FC II, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Situasi kelam-kabut di depan gol dimanfaatkan Mohamad Hakim Ismail yang mudah menolak masuk bola untuk skuad Kijang Hijau di depan dengan kelebihan satu gol.

Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC II menggandakan asakan ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-50, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar ditepis penjaga gol.

Seminit kemudian, sepakan sudut Muhammad Zuasyraf berjaya menemui Masaki Watanabe, tetapi tandukannya tepat ke dakapan Muhammad Fikri Che Soh.

Muhammad Syafik Ismail yang masuk pada babak kedua melakukan rembatan dari luar kotak pada minit ke-52, sayangnya hanya sedikit tersasar melepasi palang gol.

Jordan Mintah yang memburu kasut emas cuba mendapatkan gol penyamaan, namun rembatannya pada minit ke-57 dan 67 ditepis penjaga gol.

Penguasaan bola jelas dikuasai The Turtle, bagaimanapun siri-siri serangan Terengganu FC II terus gagal merobek gawang KUFC sehingga tamat perlawanan.

Terengganu FC II kekal dengan 35 mata di tempat ketiga, dibelakang Sarawak United (kedua) dan Negeri Sembilan yang muncul juara Liga Premier Malaysia 2021 selepas menewaskan PDRM, malam ini.


Tag: