• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu FC Teruskan Rentak Kemenangan

KUALA NERUS, 9 Mac- Terengganu Football Club (Terengganu FC) meneruskan aksi cemerlang dalam saingan kedua Liga Super Malaysia 2021, malam ini apabila menang mudah dengan skor 3-1 ke atas pendahulu liga, Selangor FC.

Tanpa kelibat David da Silva yang cedera, Nafuzi Zain membariskan Jordan Mintah dan Dechi Marcel yang dinaikkan dari Terengganu FC II untuk perlawanan ini.

Beraksi di gelanggang laman sendiri, Sang Penyu mempamerkan ancaman seawal minit pertama permainan.

Bagaimanapun, hantaran lintang rendah Faisal Halim ke kubu pelawat pada minit pertama tidak berjaya disudahkan Faiz Nasir.

Terengganu FC menguasai bola lebih 10 minit pertama perlawanan sebelum pemain import Selangor, Oliver Buff mengejutkan tuan rumah dengan rembatan deras dari luar kotak penalti yang mengenai palang gol pada minit ke-14.

Bermula dari itu, Selangor mula menggasak tuan rumah dengan corak permainan pantas.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mencari gol pendahuluan.

Namun, pada minit ke-35, Makan Konate yang mendapat peluang, bijak melakukan hantaran lintang yang mudah disempurnakan Jordan Mintah untuk gol pertama perlawanan.

Tempo permainan rancak sehingga tamat separuh masa pertama dengan keputusan kekal 1-0.

Memasuki babak kedua, Gergasi Merah lebih banyak menahan asakan tuan rumah di kawasan sendiri.

Rahmat Makasuf yang dimasukkan pada minit ke-60 menambah derita anak buah Neitzel apabila rembatan derasnya membolosi gawang Selangor seminit selepas itu.

Tersentak dengan gol tersebut, pelawat kembali mengatur serangan.

Usaha itu berhasil pada minit ke-74 apabila Muhamad Shahrul Nizam tertampan bola ke gawang sendiri apabila cuba mengeluarkan hantaran lintang Ahmad Danial Ahmad Asri.

Selangor FC terus menggasak, tetapi sang gergasi akhirnya dikejutkan dengan gol ketiga Terengganu FC hasil serangan balas pada minit terakhir perlawanan yang berjaya dijaringkan Mohamad Hakimi Abdullah.

Terengganu FC kini berada di tangga kedua Liga Super 2021 dengan enam mata.

 


Tag: