• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu FC Waspada Ancaman Perak

KUALA NERUS, 23 Julai - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memandang ringan tentangan Perak FC apabila bakal melayan kunjungan skuad Seladang itu di laman sendiri, malam esok.

Pengurus Terengganu FC, Zulfadhli Rozi berkata, kemenangan pasukannya dalam pertemuan di pusingan pertama lalu bukan tiket untuk mengambil mudah pertembungan kali ini.

"Kita sambung balik perlawanan Liga Super setelah rehat panjang, rasanya persiapan kita sama sahaja seperti pasukan lain.

"Cuma, kita sentiasa anggap Perak pasukan yang perlu diberi perhatian dan dihormati kerana prestasi mereka dalam empat ke lima tahun terakhir ini agak konsisten," katanya ketika dihubungi media, semalam.

Namun menurutnya, pemain-pemain lebih bersemangat untuk menghadapi perlawanan tersebut berikutan pembatalan saingan Piala AFC.

"Ini satu perkara positif yang dapat saya lihat. Semoga perlawanan ini jadi 'booster' untuk pemain dapatkan pencapaian yang terbaik buat pasukan.

"Kita ambil cabaran untuk layak lagi ke saingan AFC musim depan," katanya.

Zulfadhli menjangkakan jurulatih, Nafuzi Zain akan meletakkan kesebelasan terbaik dalam perlawanan itu berikutan semua pemain berada dalam keadaan cergas.


Tag: