lightning-solid
Berita :
Terengganu Ganda Tajaan Biasiswa RM1 Juta
Terengganu Ganda Tajaan Biasiswa RM1 Juta
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan Terengganu merakamkan penghargaan kepada Terengganu Incorporated Sdn Bhd atas komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pendidikan negeri dengan menambah tajaan biasiswa YT-TI ‘Young Talent Scholarship Programme’ bagi tahun pengajian 2005/2026 daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, program tajaan biasiswa yang bermula tahun 2022 itu menunjukkan perkembangan positif saban tahun dan telah memberi manfaat kepada puluhan anak Terengganu sejak diperkenalkan.

SAI_1350.jpg 6.86 MB
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Terengganu Incorporated serta semua syarikat anak dan rakan strategik yang terus komited memberi sumbangan dalam pembangunan pendidikan negeri dan hari ini kita meraikan seramai 20 orang pelajar cemerlang yang terpilih menerima biasiswa bagi sesi 2025/2026.

“Kita sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk anak-anak Terengganu menyambung pengajian supaya tidak ada pelajar yang ketinggalan untuk  menyambung pengajian ke peringkat tertinggi kerana masalah kewangan,” ujarnya.
SAI_1409.jpg 5.65 MB
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT–TI Young Talent Scholarship Programme 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun serta Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
SAI_1272.jpg 5.69 MB
Sementara itu, Burhanuddin Hilmi menyatakan sokongan penuh pihaknya terhadap sektor pendidikan tempatan melalui Program YT-TI Young Talent Scholarship Programme yang telah memasuki edisi keempat.

Menurut beliau, program ini akan diteruskan bagi memberi peluang kepada 20 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran mereka, dengan meningkatkan dana tajaan biasiswa bagi tahun pengajian 2025/2026 daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun menjadikan jumlah keseluruhan untuk empat tahun penajaan adalah RM2.5 juta.

Katanya, dana sebanyak RM1 juta itu disumbangkan oleh anak-anak syarikat Terengganu Inc, antaranya EPIC Berhad, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, TDM Berhad serta Ladang Rakyat Terengganu.

SAI_1327.jpg 7.42 MB
"Sebagai syarikat utama pelaburan utama negeri, kami menyedari kepentingan dan impak pendidikan terhadap kemajuan kerjaya dalam membentuk masa depan yang lebih cerah.

“Program ini diharapkan dapat memberi impak yang positif terhadap pendidikan negeri, sekaligus membuka peluang lebih luas kepada pelajar berpotensi untuk mencapai kejayaan lebih tinggi,” ujarnya.

Menurut beliau, pelajar-pelajar cemerlang tersebut melanjutkan pengajian dalam bidang yang mendapat permintaan tinggi dan kebolehpasaran masa kini seperti bidang Farmasi,Kejuruteraan Perisian,Kejuruteraan Mekanikal,  Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Teknologi Elektrik (Tenaga Dan Kuasa), Teknologi Tenaga Diperbaharui,Optometri, Sains Akuatuari, Teknologi Pembiakbakaan Tumbuhan dan Perakaunan.



 
 


Tag :

Artikel Berkaitan