• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Inc Bina Rumah Imam

Khairul Nizam menyampaikan kunci rumah imam kepada imam surau tersebut di Surau Kampung Balik Bukit, Dungun.  Foto oleh Mohd Syazni Zainudin.

Atas dasar Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR), anak syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) membina sebuah rumah imam di Surau Kampung Balik Bukit, Seberang Pintasan, Dungun dan menambahbaik surau berkenaan melalui program 'Way of Naqiya 2.0'.

Naib Presiden, Khairul Nizam Khalid Mirza yang mewakili Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak berkata, program tersebut adalah kesinambungan daripada inisiatif yang pernah dijalankan pada tahun lalu.

Katanya, untuk 'Way of Naqiya 1.0', aktiviti pembersihan dan penambahbaikan Madrasah al-Hidayah di Batu Buruk, Kuala Terengganu telah dilakukan pada tahun lalu.

"Rumah yang dibina di surau ini adalah bagi menempatkan imam selain memberi tempat untuk mereka bermalam semasa mengadakan ceramah-ceramah keagamaan di sini.

"Selaras dengan apa yang diaspirasikan oleh Terengganu Inc iaitu 'Memanfaatkan Pelaburan Untuk Rakyat' program ini diadakan untuk memberi sokongan selain membantu komuniti setempat dalam mempelajari ilmu agama," katanya kepada Teganukita.


Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah dalam Program 'Way of Naqiya 2.0' di Surau Kampung Balik Bukit, Dungun, hari ini.

Turut hadir,  Naib Presiden Komunikasi Strategik, Suridah Supian.

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi surau tersebut, Mazlan Tawang berkata, sumbangan yang disalurkan oleh pihak Terengganu Inc amat bermakna dalam menyiapkan rumah imam itu.

"Bagi pihak ahli jawatankuasa surau dan penduduk setempat amat terharu kerana telah memilih kawasan ini untuk progam CSR Terengganu Inc.

"Dengan adanya rumah untuk imam ini, ianya memudahkan mereka untuk bermalam di sini kerana kebanyakan imam yang hadir adalah dari kawasan luar," katanya.

Tag: