Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Kempunan Gangsa, Tewas 0-1 Di Halaman Sendiri
Terengganu Kempunan Gangsa, Tewas 0-1 Di Halaman Sendiri
Ahmad Zaeem Zainudin
5 jam yang lepas
210

KUALA NERUS, 22 Oktober - Skuad bola sepak Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Terengganu menerima tamparan hebat di halaman sendiri selepas kempunan meraih sebarang pingat dalam acara bola sepak Sukan Empat Negeri 2026, petang tadi.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu akur tewas 0-1 kepada Kelantan. 

Terdahulu, Kelantan meledak gol tunggal perlawanan yang terhasil selepas mereka berjaya membuka ruang pertahanan Terengganu pada minit ke-44.

Terengganu berpeluang bangkit, namun tuah tidak menyebelahi mereka apabila gagal menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-47 dan ke-52.

Kekalahan ini menyaksikan Kelantan berjaya membawa pulang pingat gangsa, manakala Terengganu sekadar berpuas hati di kedudukan keempat.

Meskipun terlepas pingat dalam dua acara berturut-turut (bola tampar dan bola sepak), Terengganu masih kukuh di puncak saingan dengan pengumpulan 58 mata. 

Tumpuan malam ini beralih ke perlawanan akhir penentuan Emas dan Perak antara Kedah dan Johor.

Sekiranya Kedah berpeluang merembat emas dalam aksi akhir bola sepak malam ini, kedudukan Terengganu sebagai juara keseluruhan akan kembali tergugat.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan