• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Komited Perjuangkan Nasib John Beasley

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan Terengganu melaungkan komitmen untuk memperjuangkan lanjutan kontrak jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley sehingga Sukan Olimpik 2024 Paris.

Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu bagi memastikan jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang dapat terus mengekalkan prestasinya.

"Saya beri komitmen bahawa sekiranya keputusan berbeza hendak dibuat oleh mana-mana pihak, saya akan perjuangkan supaya Dato' Azizulhasni dapat khidmat jurulatih terbaik sebagaimana yang dikehendakinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan insentif kemenangan kepada The Pocket Rocketman atas kejayaannya mendapat pingat perak dalam Sukan Olimpik 2020 di kediaman Seri Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Sementara itu, Azizulhasni menyatakan rasa lega dengan kesediaan kerajaan negeri itu.

"Apabila dengar Dato' Seri kata begitu, saya rasa 'dok (tak) serabut dah pale (kepala)' dan tidak rasa terganggu lagi untuk persiapan latihan saya.

"Setakat yang kita sedia maklum, Exco dan pemimpin di Terengganu ini 'very supportive' dan menyahut impian saya untuk meneruskan lagi usaha ke Paris bagi mengejar pingat emas.

"Jadi, kalau ada masalah mereka akan cuba bantu," katanya sambil berharap khidmat 'bapa angkat'nya yang akan tamat hujung tahun ini disambung bagi meneruskan legasi perjuangannya sehingga sukan Olimpik akan datang.


Tag: