• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Lancar Kempen Solat Subuh, Dhuha Berjemaah


Kerajaan negeri optimis melaksanakan Kempen Solat Subuh dan Solat Dhuha Perdana Secara berjemaah di seluruh daerah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunukasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata Kempen Solat Subuh Berjemaah merupakan cetusan idea kerajaan negeri dan diperkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Kita akan mulakan di daerah Hulu Terengganu dan pada setiap minggu ia akan diteruskan ke daerah lain  termasuk ke Kuala Terengganu,Besut,Marang,Dungun,Kemaman dan Setiu.

"Solat secara berjemaah adalah salah satu indikator utama dalam penyatuan antara satu sama lain terutama dalam   mengukuhkan perpaduan dan ukhwah islamiyah dalam kalangan umat islam di negeri ini,"kata Ghazali.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Solat Berjemaah di Masjid Hadhari Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Tok Randok,Ajil,Hulu Terengganu,hari ini.
 

Ghazali turut berkata bahawa untuk menjayakan solat berjemaah ini,semua pemimpin setempat dan pelbagai agensi harus bersama-sama bergabung sebagai tenaga penggerak utama.

"Kempen ini digerakkan oleh pihak berkuasa agama negeri agar amalan berjemaah tidak terus terabai dalam kalangan umat Islam, malah dapat menarik kehadiran lebih ramai kalangan muda untuk bersama.

"Ini menuntut azam dengan kesedaran bahawa mengerjakannya mempunyai kelebihan besar di sisi Islam dalam menjana kekuatan iman dan keperibadian malah kehidupan sebagai seorang muslim,"katanya lagi.

Turut hadir, Mufti Negeri Terengganu Dato' Dr Mohd Zulkifly Muda yang memimpin solat subuh berjemaah dan disertai oleh  500 jemaah dari kawasan sekitar.

Dr.Mohd Zulkifly yang ditemui menyambut baik program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan negeri dan berharap semua pihak sama-sama mengimarahkan solat secara berjemaah.

Tag: