Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Lancar Studio TikTok Shop Live, Bantu Usahawan Tembusi Pasaran Lebih Luas
Terengganu Lancar Studio TikTok Shop Live, Bantu Usahawan Tembusi Pasaran Lebih Luas
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 10 September – Usahawan Terengganu kini mempunyai satu lagi kemudahan khusus untuk memperkukuh pemasaran digital menerusi pelancaran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu.

Kemudahan itu diperkenalkan bersempena Market Innovation Showcase 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula hari ini hingga 12 September.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, pembangunan ekosistem keusahawanan hari ini memerlukan hubungan yang lebih rapat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, agensi berkaitan dan pemain industri.

Menurutnya, kerjasama sedemikian penting supaya idea, penyelidikan serta inovasi yang dihasilkan dapat dibawa keluar daripada ruang akademik dan diterjemahkan kepada bentuk yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat serta pasaran.

Beliau berkata, nilai sebenar sesuatu inovasi hanya dapat dilihat apabila ia berjaya digunakan, dikembangkan dan memberi pulangan kepada ekonomi serta kehidupan rakyat.

“Pelancaran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu merupakan langkah tepat pada masanya bagi membantu usahawan tempatan memperkukuh jenama, menguasai pemasaran digital dan memperluas capaian produk ke pasaran lebih besar,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Market Innovation Showcase 2026 dianjurkan menerusi kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan TikTok Shop Malaysia.

Program bertemakan 'Inovasi Untuk Semua' itu menghimpunkan pelbagai pihak dalam ekosistem inovasi dan keusahawanan, termasuk penyelidik, usahawan, pemain industri, syarikat pemula, pelajar dan komuniti.

Penganjuran tersebut turut memberi ruang kepada hasil penyelidikan dan inovasi untuk diketengahkan kepada pihak industri serta usahawan yang berpotensi membangunkan produk atau membawanya ke peringkat pengkomersialan.

Selain itu, pengunjung turut diperkenalkan kepada pelbagai hasil inovasi UMT, produk syarikat pemula, idea pelajar serta produk usahawan bimbingan YPUT.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perhubungan Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, perubahan corak pembelian pengguna hari ini membuka ruang yang semakin besar kepada usahawan untuk memasarkan produk melalui kandungan digital dan sesi jualan secara langsung.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan peniaga berinteraksi terus dengan pelanggan, menerangkan produk dengan lebih berkesan serta membina hubungan yang lebih dekat dengan pengguna.

Menurutnya, kewujudan Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu juga boleh dimanfaatkan sebagai tempat usahawan meningkatkan kemahiran dalam penghasilan kandungan, pengendalian sesi langsung dan pembinaan jenama.

Kemudahan itu turut dijangka membantu usahawan yang sebelum ini kurang terdedah kepada pemasaran digital untuk mula membina keyakinan menggunakan platform e-dagang secara lebih tersusun.

Sepanjang tiga hari berlangsung, Market Innovation Showcase 2026 turut menampilkan pameran, perkongsian ilmu, demonstrasi produk, aktiviti komuniti serta beberapa pengisian berkaitan inovasi dan keusahawanan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan