• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Mahu Lahir Lebih Ramai Usahawan

KUALA TERENGGANU, 17 Mei -  Kerajaan Terengganu mahu memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini.

Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, untuk mencapai hasrat tersebut kerajaan negeri akan terus bersedia membantu dan menyokong golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

"Yayasan Pembangunan Usahawan dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) diharapkan dapat menjadi nadi penggerak dan memainkan peranan yang penting dalam usaha pembangunan semua golongan usahawan.

"Adalah menjadi harapan saya, YPU dengan kerjasama PEUTER dapat menganjurkan lebih banyak program dan menjalankan inisiatif secara kolaboratif bagi memastikan usahawan Terengganu terus mendapat manfaat serta sokongan dan terus Maju, Berkat dan Sejahtera,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu Ahmad Samusi berkata, Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) boleh dianggap sebagai tulang belakang ekonomi negeri kerana itu pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan sektor keusahawanan kekal berdaya saing.

"Kerajaan Terengganu melalui YPU telah menyediakan dana Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi membantu meringankan beban usahawan Terengganu dimana seramai 2002 usahawan telah memperolehi dana TUGAS berjumlah keseluruhan sebanyak RM5.157 juta pada tahun 2022.

"Setakat April 2023 pula, seramai 1,428 usahawan telah memperolehi dana TUGAS dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.36 juta,"ujarnya.