lightning-solid
Berita :
Terengganu Masih Buka Skim Pinjaman Motosikal Tanpa Caj Tambahan
Terengganu Masih Buka Skim Pinjaman Motosikal Tanpa Caj Tambahan
Rohayati Ripin
53 minit yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) masih membuka permohonan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa caj tambahan dengan beberapa penambahbaikan syarat bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini menikmati kemudahan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, orang ramai yang memenuhi syarat masih boleh mengemukakan permohonan kerana peruntukan yang disediakan masih mencukupi.

"Skim pinjaman motosikal masih lagi dibuka kepada masyarakat. Sesiapa yang memenuhi kriteria boleh hadir ke Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk membuat permohonan dan insya-Allah kita masih mempunyai peruntukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Peminjam Kali Kedua di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), di sini pada Selasa.

Menurutnya, antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah permohonan tidak lagi terhad kepada pekerja dalam sektor ekonomi gig, sebaliknya dibuka kepada individu daripada pelbagai bidang pekerjaan.

Katanya, setiap permohonan bagaimanapun akan melalui proses tapisan dan siasatan oleh pihak YPU bagi memastikan hanya pemohon yang memenuhi syarat diberikan kelulusan.

Selain itu, syarat memiliki lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut dimansuhkan, namun pemohon perlu menyediakan seorang penjamin bagi melengkapkan permohonan.

Ariffin berkata, tempoh bayaran balik pinjaman turut dilanjutkan sehingga empat tahun sekali gus mengurangkan kadar ansuran bulanan kepada sekitar RM100.

"Jumlah maksimum pembiayaan kekal RM5,000. Sekiranya pemohon memilih motosikal baharu atau terpakai yang harganya melebihi jumlah tersebut, mereka hanya perlu menanggung sendiri baki harga berkenaan," katanya.

Beliau berkata, skim pembiayaan itu diwujudkan bagi membantu rakyat, khususnya golongan yang memerlukan kenderaan untuk bekerja dan menjana pendapatan, tanpa dibebankan dengan caj tambahan.


Tag :

Artikel Berkaitan