Berita :
Terengganu Mula Keluar Daripada Bayang ‘Negeri Minyak’ - Pakar
Terengganu Mula Keluar Daripada Bayang ‘Negeri Minyak’ - Pakar
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Terengganu mula keluar daripada bayang ‘negeri minyak’
Terengganu kini sedang membina wajah ekonomi baharu apabila tidak lagi hanya bergantung kepada minyak dan gas, sebaliknya memperkukuh sektor lain yang lebih pelbagai.

Perubahan itu dilihat penting ketika ekonomi dunia semakin tidak menentu, khususnya apabila harga minyak mudah terkesan akibat konflik geopolitik, kelembapan ekonomi global dan perubahan dasar tenaga antarabangsa.

Antara sektor yang kini diberi penekanan ialah pelancongan, pembuatan berasaskan sumber, industri hiliran petroleum, tenaga hijau, pertanian moden dan perkhidmatan kesihatan pakar.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA, Dr. Mohamad Idham Md Razak, berkata Terengganu kini mula membina asas ekonomi yang lebih seimbang.

“Terengganu mula memperkukuh sektor pelancongan, pembuatan berasaskan sumber serta industri hiliran petroleum sebagai pelengkap kepada sektor tenaga tradisional.

“Peralihan ini penting bagi meningkatkan ketahanan ekonomi negeri terhadap turun naik harga komoditi global,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu menunjukkan Terengganu tidak lagi hanya mahu dikenali sebagai negeri pengeluar minyak, tetapi sedang bergerak sebagai negeri yang mempunyai sumber pertumbuhan lebih luas.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata struktur ekonomi Terengganu kini jauh lebih pelbagai berbanding sedekad lalu.

“Jika sekitar 2010 hampir separuh ekonomi negeri bergantung kepada minyak dan gas, menjelang 2025 sumbangan sektor itu dianggarkan berkurangan kepada 28 peratus,” katanya.

Menurut beliau, penurunan kebergantungan kepada minyak dan gas itu memberi gambaran bahawa Terengganu semakin berjaya mempelbagaikan asas ekonominya.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia turut menunjukkan nilai ekonomi Terengganu meningkat daripada RM31.1 bilion pada 2015 kepada RM39.9 bilion pada 2024.

Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar dengan 51.9 peratus atau RM20.7 bilion, diikuti sektor pembuatan sebanyak RM14.6 bilion dan pertanian RM2.9 bilion.

Dalam aspek pelaburan, Terengganu turut mencatat pelaburan komited sebanyak RM4.3 bilion setakat September 2025, didorong antaranya oleh sektor tenaga boleh baharu.

Perkembangan itu menunjukkan Terengganu sedang bergerak daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi yang lebih seimbang, moden dan berdaya tahan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan